fbpx

WHBC 2021 bincang isu halal dalam proses pemulihan global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2021  (WHBC 2021) anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal  (HDC) bakal membincangkan tentang peranan dan sumbangan industri halal terhadap pemulihan ekonomi secara global.

WHBC 2021 edisi ke-13 yang akan membuka tirainya pada 9 September ini pertama kali dianjurkan secara maya.

 Kira-kira 3,000 delegasi dari 35 negara dengan wakil daripada pelbagai sektor temasuk agensi kerajaan, pakar industri, pembuat polisi, ahli akademik dan juga orang awam akan menyertai acara tahunan tersebut.

 Antara delegasi yang akan mengambil bahagian adalah wakil dari  Australia, Kanada, Senegal, Afrika Selatan, Taiwan dan United Kingdom.

Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation Berhad  (HDC),  Hairol Ariffein berkata, pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak hujung 2019 memberi kesan serta membantutkan usaha pelbagai industri dalam per saingan mencapai matlamat pasaran halal global menjelang 2030.

Hairol Ariffein

 “Konteks halal di sini bukan sahaja merujuk kepada makanan dan minuman mengikut landasan Islam, tetapi lebih luas merangkumi kepelbagaian produk dan perkhidmatan dalam bidang kesihatan, perubatan, kosmetik dan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan.

 Hairol menjelaskan, industri halal di Malaysia telah berkembang untuk menjadi salah satu peneraju pertumbuhan ekonomi negara.

 Menurut beliau, sektor makanan dan minuman halal, termasuk sektor bahan-bahan halal telah menyumbang lebih 85 peratus daripada eksport halal keseluruhan Malaysia.

  Sementara itu, kosmetik halal, produk penjagaan diri, industri kimia dan farmaseutikal halal pula menyumbang 13.1 peratus kepada eksport halal keseluruhan Malaysia pada suku pertama 2021.

 “Industri halal kini menyumbang 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), peranan dan sumbangan industri ini dalam melindungi kehidupan dan kesihatan setiap rakyat menjadi  perkara yang sangat penting hari ini,” jelasnya.

Tambah Hairol, berdasarkan kaji selidik khas yang diadakan tentang ‘Kesan Covid-19 Terhadap Ekonomi dan Syarikat/Firma Perniagaan – Pusingan 1’, keputusan menunjukkan sejumlah 67.8 peratus perniagaan rakyat Malaysia tidak membuat jualan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 10 April hingga 1 Mei 2020.

“Bagi perniagaan yang bertahan pula, kira-kira separuh (53.4 peratus) sahaja daripada jumlah perniagaan keseluruhan iaitu sebanyak 4,094, mampu bertahan antara sebulan hingga dua bulan sepanjang PKP.

Malahan, perniagaan-perniagaan tersebut hanya dapat bertahan selepas menawarkan potongan gaji separuh bulan terhadap para pekerja,” ujarnya.

 WHBC 2021 akan menangani perubahan dalam sektor halal yang  membawa transformasi dalam industri berikutan pandemik yang melanda, selain menerokai pelbagai peluang dan cabaran ke arah pengurusan dan penggunaan yang lebih baik.

 Persidangan tahunan anjuran HDC ini adalah satu acara terkemuka sebagai platform pemikiran kepimpinan global yang membawa komuniti ke dalam ekosistem halal.

  WHBC 2021, yang bernaung di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri , kini menjadi satu perkara penting dalam kalendar halal global.

POPULAR