SUNGAI PETANI – Jenazah anggota tentera, Koperal Norazmi Abu Bakar yang maut akibat letupan grenad di Kem Hobart, Gurun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Busyra, Merbok di sini pukul 5.25 pagi tadi.
Kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan setugas hadir untuk memberi penghormatan terakhir.
Pengebumian jenazah Norazmi dijalankan mengikut istiadat ketenteraan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.
Suasana menjadi pilu apabila Panglima Briged Keenam Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Mohd Fouzi Sulaiman menyampaikan Jalur Gemilang kepada isteri Allahyarham Norazmi, Siti Fairus Mohamad Yussof, 38.
Allahyarham Norazmi meninggalkan dua anak iaitu Nurliana Danishah, 14, dan Muhammad Rizhan Darwish, 8.
Terdahulu, jenazah Norazmi dibedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar sebelum dimandi dan dikafankan di hospital itu.
Jenazah kemudian dibawa pulang ke kediaman keluarganya di Kampung Tupah Lama, Merbok sebelum dibawa ke masjid untuk disembahyangkan.
Kosmo! semalam melaporkan dua anggota tentera maut akibat letupan grenad ketika dalam Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia.
Dua mangsa itu ialah Koperal Norazmi daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, daripada Skuadron Pertama RAJD. – KOSMO! ONLINE














