fbpx
FATIMAH di Jabatan Forensik HSB, Alor Setar semalam. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN/KOSMO!

Letupan grenad: ‘Abang balik nak tengok mak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Seorang ibu tidak menyangka kepulangan anak lelakinya ke rumah di Merbok, dekat sini malam kelmarin menjadi pertemuan terakhir sebelum anggota tentera itu maut dalam letupan grenad di Kem Hobart, Gurun semalam.

Menurut Fatimah Ismail, 78, anaknya, Koperal Norazmi Abu Bakar, 40, tiba di rumah kira-kira pukul 11.30 malam dan ketika itu dia sudah bersiap untuk tidur.

“Saya terkejut apabila nampak dia balik malam-malam lalu bertanya ada apa-apa kah. Dia cuma jawab, abang balik nak tengok mak selain memberitahu dia bertugas di Gurun.

“Selepas itu, saya beritahu ada gulai ikan mambu jika dia mahu makan. Dia kata sudah makan tetapi tetap menikmati nasi bersama gulai ikan itu dengan berselera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, keesokan paginya arwah keluar ke Kem Hobart kerana bertugas sebagai jurulatih dan dia sempat berpesan supaya anaknya berhati-hati ketika memandu.

“Arwah tinggal di rumah sewa bersama isteri dan dua anak di Pokok Sena. Mungkin dia bermalam di rumah saya kerana lokasinya lebih dekat dengan Kem Hobart.

“Semasa dia keluar ke tempat kerja, saya melihat keretanya sehingga hilang dari pandangan. Kebiasaannya saya tidak begitu, tetapi pagi itu tiba-tiba saya berasa sangat sayang kepadanya,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN