PETALING JAYA – Jenama snek churros kegemaran ramai yang kini berwajah baharu, Churros+, telah memperolehi pensijilan halal rasmi daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi tujuh buah outletnya dalam tempoh kurang enam bulan selepas proses penjenamaan semula.
Produk yang dulunya dikenali sebagai Street Churros kini dijenamakan sebagai Churros+
Pengarah Urusan Cornery FNB Sdn. Bhd., Datuk Joe Tan Kwang Wee berkata, pencapaian ini melambangkan komitmen tinggi jenamanya dalam memastikan setiap produk yang disediakan memenuhi standard halal yang diyakini, serta diiktiraf secara rasmi.
Menurut beliau, kejayaan ini juga adalah hasil daripada persediaan yang rapi, komitmen pengurusan serta kerjasama penuh seluruh pasukan dalam aspek pemilihan bahan mentah, proses operasi, dokumentasi, dan standard kebersihan.

“Pensijilan halal ini mencerminkan usaha berterusan Churros+ dalam memberikan produk yang berkualiti tinggi, bersih, dan diyakini pelanggan.
“Bagi kami, halal bukan sekadar logo atau pensijilan, tetapi ia adalah satu tanggungjawab dalam memastikan pelanggan menerima pengalaman yang terbaik setiap kali menikmati produk Churros+,” katanya pada maljlis pelancaran penjenamaan semula makanan tersebut baru-baru ini.
Tambah beliau, antara usaha terbesar yang dilakukan syarikat dalam proses memperoleh sijil halal adalah untuk memastikan setiap bahan mentah dan proses operasi memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.
“Churros+ juga memberi perhatian penuh terhadap aspek kebersihan, penyimpanan bahan, proses penyediaan makanan serta pematuhan SOP operasi di setiap outlet.
“Kami percaya bahawa konsistensi dalam menjaga standard ini sangat penting bagi memastikan pelanggan dapat menikmati produk kami dengan lebih yakin dan selesa.,” ujarnya.
Turut diadakan kempen promosi Let’s Celebrate Chu-gether yang telah berakhir minggu lalu yang memberi peluang kepada peminatnya menikmati pelbagai aktiviti promosi serta pemberian baucar kepada pelanggan.
Bagaimanapun, bagi yang terlepas peluang menikmati promosi mega tempoh hari, perjalanan manis bersama Churros+ tidak berakhir di sini, kini syarikat mengajak seluruh rakyat terus mengikuti akaun media sosial rasmi mereka serta memuat turun aplikasi Cornery Food App di Apple App Store atau Google Play Store.
Langkah digital ini bukan sekadar platform pesanan mudah, malah ia merupakan gerbang utama untuk pelanggan mengumpul ganjaran menarik.














