SHAH ALAM – Hanya seorang individu di negara ini dikenal pasti memiliki kumpulan darah paling jarang di dunia dikenali sebagai The Golden Blood atau darah emas.
Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara (PDN), Dr. Tun Maizura Mohd. Fathullah berkata, pemilik darah jenis Rh null itu dikesan di Terengganu dan usaha melakukan saringan telah dibuat terhadap keluarga individu itu.
“Setakat ini seorang sahaja mempunyai darah yang sangat jarang ditemui itu dan dianggap istimewa.
“Jika ada keperluan di hospital, kami akan menghubunginya untuk menjadi penderma,” katanya pada Kempen Derma Darah Perdana: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cakna di UiTM Shah Alam.
The Golden Blood hanya dimiliki oleh seorang dalam enam juta penduduk dan sehinga kini dipercayai hanya 50 individu sahaja memilikinya di seluruh dunia.
Darah yang dikatakan ditemui sejak 1961 pada seorang wanita berasal dari Australia itu paling universal dan dianggap penyelamat nyawa kerana tiada antigen.
Kosmo! sebelum ini melaporkan perkongsian sebuah laman Facebook mengenai seorang wanita tempatan yang dilaporkan memiliki keistimewaan itu.
Darah yang didermakan akan dihantar ke PDN Kuala Lumpur untuk disejuk bekukan dan disimpan dalam peti nitrogen dengan suhu -80 darjah celsius selama 10 tahun. – KOSMO! ONLINE














