fbpx
VINCE kali pertama menderma darah pada 18 Mei 2013 dan berazam untuk melakukannya sebanyak 50 kali sekiranya kesihatan mengizinkan.

50 kali derma darah, 150 nyawa diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya tidak tinggalkan harta yang banyak tetapi saya mahu tinggalkan sesuatu yang masih boleh memberi manfaat kepada orang lain.”

Itu pegangan seorang guru Kimia, Vince, 36, yang menjadikan pendermaan darah sebagai satu bentuk ‘hadiah kehidupan’ selepas hampir 13 tahun konsis­ten membantu pesakit memerlukan.

Bermula dengan sasaran awal untuk menderma darah seba­nyak 30 kali sahaja, Vince kini memasang impian baharu untuk mencapai 50 kali pendermaan selagi kesihatan mengizinkan.

“Setiap kali menderma 450 mililiter darah, saya akan ter­ingat bahawa sumba­ngan kecil itu mungkin menjadi peluang kedua kepada individu yang sedang berjuang mendapatkan rawatan.

“Pada awalnya sasaran saya hanya 30 kali tetapi selepas melihat keadaan kesihatan masih baik dan saya masih mampu menderma, saya rasa boleh te­ruskan hingga 50 kali.

“Bagi saya, setiap pendermaan itu adalah satu hadiah yang boleh diberikan kepada orang lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ujarnya, 50 kali pendermaan itu secara tidak langsung berpotensi memberi manfaat kepada kira-kira 150 pesakit memerlukan.

“Kalau ikut anggaran, satu beg darah boleh membantu sehingga tiga orang. Jadi 50 kali pendermaan mungkin boleh memberi manfaat sekitar 150 individu.

“Itu satu angka yang besar bagi saya kerana kita mungkin tidak mengenali mereka tetapi darah kita pernah menjadi sebahagian daripada usaha menyelamatkan kehidupan mereka,” katanya.

Pemilik kumpulan darah AB+ RH+ itu berkata, perkara tersebut bukan sesuatu untuk dibanggakan, sebaliknya satu tanggungjawab membantu insan lain.

Mengimbas pengalaman pa­ling memberi kesan sepanjang bergelar penderma, bapa seorang cahaya mata itu berkata, dia pernah menerima panggilan pegawai perubatan Hospital Seberang Jaya (HSJ), Pulau Pinang yang memintanya hadir segera untuk menderma darah.

“Doktor sendiri hubungi saya dan bertanya sama ada boleh datang derma darah secepat mungkin kerana mereka memerlukan bekalan darah yang sesuai.

“Saya tidak mengetahui identiti penerima, namun saya dibe­ritahu darah saya sepadan de­ngan seorang kanak-kanak yang menghidap talasemia,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN