SEREMBAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 hari ini dlihat sebagai penentu kepada keberkesanan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan keputusannya berpotensi menjadi titik perubahan kepada landskap politik negara.
Dalam waktu yang sama, PRN ini juga menjadi medan ujian sebenar kepada Pakatan Harapan (PH) apabila bertanding secara ‘solo’ tanpa kerjasama dengan parti di luar gabungan itu.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Datuk Dr. Sivamurugan Pandian berkata, sekiranya kerjasama BN-PN berjaya mengekalkan atau menambah kerusi, ia membuktikan bahawa penyatuan undi mempunyai nilai elektoral berbanding kedua-dua parti bertanding secara berasingan.
“Penyatuan undi, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu mampu meningkatkan daya saing BN dan PN. Sekiranya kerjasama ini berjaya, ia akan meningkatkan keyakinan kedua-dua pihak untuk memperluaskannya pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Bagaimanapun, Sivamurugan berkata, keputusan PRN itu masih perlu dinilai berdasarkan faktor setempat dan tidak wajar digeneralisasikan sebagai gambaran keseluruhan penerimaan pengundi di negara ini.
Katanya, keberkesanan penyatuan undi turut bergantung kepada keserasian kepimpinan, disiplin parti, pembahagian kerusi dipersetujui bersama serta penyelarasan jentera pilihan raya.
“Jika kesemua faktor itu dapat dipenuhi, kerjasama ini berpotensi berkembang. Jika tidak, ia mungkin kekal sebagai kerjasama yang bersifat pilihan raya semata-mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sivamurugan berkata, PRN Negeri Sembilan menjadi ujian sebenar terhadap kekuatan PH apabila bertanding tanpa kerjasama BN yang menjadi rakan perpaduan dalam kerajaan Pusat.
Menurutnya, keputusan itu akan menunjukkan sama ada PH masih mampu mengekalkan sokongan atas kekuatan sendiri seperti sebelum ini.
“PRN Negeri Sembilan bukan penentu keputusan PRU, tetapi merupakan barometer penting terhadap kekuatan PH yang bergerak tanpa BN.
“Keputusan ini akan mempengaruhi strategi dan keyakinan parti-parti politik menjelang PRU akan datang, namun faktor nasional seperti kepimpinan, ekonomi dan kos sara hidup tetap penentu utama,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Dr. Muhamad Fuad Abdul Karim berkata, landskap persaingan di negeri itu jauh berbeza berbanding PRN Johor.
Menurutnya, jika di Johor BN mempunyai kelebihan lebih jelas sehingga mampu bertanding secara solo, persaingan di Negeri Sembilan jauh lebih kompetitif dan seimbang.
“Secara keseluruhannya, peluang kemenangan antara PH dan gabungan BN-PN boleh dianggap hampir seimbang, namun BN-PN mempunyai sedikit kelebihan berdasarkan potensi vote transferability dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya.
Beliau berkata, sokongan pengundi bukan Melayu secara keseluruhannya dijangka masih memihak kepada PH, khususnya apabila beberapa isu semasa dan kenyataan kontroversi yang melibatkan parti-parti lawan terus mempengaruhi persepsi pengundi.
Jelasnya, keputusan PRN Negeri Sembilan berkemungkinan besar menjadi titik kepada hala tuju kerjasama BN-PN pada masa hadapan.
“Sekiranya formula itu berjaya menghasilkan kemenangan, ia dijangka membuka laluan kepada kerjasama yang lebih tersusun dalam pilihan raya akan datang, termasuk di Melaka walaupun BN secara tradisinya masih mempunyai keyakinan untuk bertanding secara solo di negeri tersebut,” jelasnya.
Katanya, kejayaan di Negeri Sembilan juga dijangka menjadi asas penting kepada rundingan pembahagian kerusi serta pembentukan strategi bersama menjelang PRU.
“Bagi PH pula, PRN itu bukan sekadar pertaruhan mempertahankan kerajaan negeri, malah menjadi ujian terhadap kredibiliti kepimpinan tertinggi mereka, termasuk risiko beberapa figura utama seperti Datuk Seri
Aminuddin Harun tewas di kerusi masing-masing sekiranya gelombang sokongan kepada BN-PN berlaku,” ujarnya.
Beliau berkata, sekiranya senario itu berlaku, ia bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan strategi PH serta keupayaan parti-parti komponennya menarik sokongan pengundi Melayu, malah berpotensi mencetuskan penilaian semula terhadap struktur kerjasama dalam PH.














