KUALA LUMPUR – Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang akhirnya menamatkan penantian selama 16 tahun untuk merangkul pingat emas Sukan Komanwel apabila muncul juara acara keirin lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, awal pagi tadi.
Lebih manis, Azizulhasni yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menutup tirai penampilannya terakhir di Sukan Komanwel dengan emas selepas mempamerkan kayuhan penuh bertenaga menewaskan kelompok pelumba elit dunia menghadiahkan emas ketujuh kontinjen negara di Glasgow.
Pada aksi final itu, pelumba Australia, Leigh Hoffman akur meraih pingat perak, manakala Harry Ledingham-Horn dari England membawa pulang gangsa.
Kejayaan itu cukup bermakna buat pelumba negara berusia 38 tahun itu yang sebelum ini dinafikan emas pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel New Delhi 2010 kerana kesalahan menunggang secara berbahaya.

Insiden berkenaan menyaksikan rakan sepasukannya, Josiah Ng, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua dinaikkan sebagai pemenang pingat emas.
Seorang lagi wakil negara, Shah Firdaus Sahrom, gagal mengiringi Azizulhasni ke final apabila menamatkan saingan di tempat keempat dalam saringan kedua dan menamatkan kempen di kedudukan ketujuh keseluruhan.
Sementara itu, hasrat Nurul Izzah Izzati Mohd Asri untuk menghadiahkan pingat dalam acara pecut wanita tidak kesampaian apabila tewas kepada Sophie Capewell dari England pada aksi separuh akhir.
Izzah kemudian turut kecundang 0-2 kepada Rhian Edwards dari Wales dalam penentuan pingat gangsa, sekali gus menamatkan saingan di tempat keempat keseluruhan. -KOSMO! ONLINE














