fbpx

Hatrik Bergson sahkan JDT juara Liga Super

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bergson Da Silva menghadiahkan hatrik buat JDT dalam aksi menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sekaligus meletakkan Harimau Selatan bergelar Juara Liga Super kali kelapan berturut-turut.-Foto RAJA JAAFAR AL

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Liga Super musim ini selepas menjinakkan skuad Tok Gajah 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan JDT melakar sejarah baharu Liga Super apabila mempertahankan kejuaraan yang dimenangi buat lapan musim berturut-turut sejak memenanginya buat pertama kali pada 2014.

Jaringan hatrik Bergson Da Silva pada perlawanan menentang Sri Pahang FC itu melengkapkan malam gemilang buat skuad Harimau Selatan.

Ini adalah jaringan hatrik kedua buat penggempur berbisa kelahiran Brazil itu pada musim ini selepas menjaringkan tiga gol ketika menewaskan Perak di gelanggang keramat ini pada 31 Julai lalu.

Bergson itu membuka jaringan pada minit kelapan apabila menghukum kesilapan Zazrir Naim Abdul Rani yang melakukan hantaran ke belakang sebelum memperdaya tiga pemain dan meledak rembatan deras menewaskan penjaga gol, Daniel Wafiuddin Sa’dun.

Pada minit ke-41, Safiq bijak menghasil peluang gol dengan membuat lorongan mencari Bergson yang bersahaja membuat sepakan lambung menewaskan Daniel Wafiuddin.

Tiga minit berselang, Bergson sekali lagi menjadi igauan ngeri buat Daniel Wafiuddin yang melengkapkan hatrik setelah bijak bermain satu dua dengan Gonzalo Cabrera sebelum melepaskan rembatan rendah pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Dollah Salleh cuba bangkit pada perlawanan itu untuk sekurang-kurangnya memecahkan kebuntuan jaringan.

Kedua-dua pasukan saling melakukan serangan ke arah kubu lawan namun keputusan kekal ke wisel penamat.

Juara baharu Liga Super itu perlu mengharungi lagi perlawanan menentang Terengganu FC pada 4 September sebelum menamatkan saingan liga di laman sendiri menentang Kuala Lumpur FC pada 12 September ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI