fbpx

Mendepani krisis air terburuk Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk dilihat sedang mengisi bekalan air bersih yang disediakan oeh Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd ekoran bekalan air terputus baru-baru ini.
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

LEBIH 150,000 penduduk daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu ketika ini berdepan masalah gangguan bekalan air buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan.

Krisis air di kawasan antara paling padat di Terengganu itu berlaku hanya selepas 10 hari kerosakan paip utama berjaya dipulihkan.

Kali ini lebih lama, kerja-kerja pemulihan bekalan air untuk 28,700 pemegang akaun terlibat dianggarkan hanya akan pulih dalam tempoh 20 hari.

Tempoh lama tersebut sudah pasti meresahkan ramai pengguna sehinggakan tawaran air percuma selama dua bulan oleh kerajaan negeri Terengganu sebelum ini belum mampu menyejukkan hati mereka yang membara.

Memahami kekecewaan pengguna terkesan, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh memberi jaminan penyelesaian jitu akan dilakukan bagi memastikan masalah sama tidak akan berulang.

Jelas beliau, secara teknikalnya, krisis air itu bermula apabila paip air utama yang ditanam di dasar Sungai Terengganu berhampiran Kampung Losong Feri pecah pada 2 Ogos lalu.

“Kerosakan itu telah dibaiki pada 13 Ogos lalu dan kesemua pengguna terjejas kembali mendapat bekalan air tidak sampai 24 jam selepas itu.

“Begitupun, dua paip pada jajaran sama yang terletak kira-kira 24 meter dari lokasi pertama pula pecah sewaktu kerja-kerja pasca pembaikan dilakukan pa­da Isnin (23 Ogos) lalu,” kata­nya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mamad berkata, dua strategi pemulihan telah dilakukan bagi memastikan krisis air selesai sepenuhnya sebelum pertengahan bulan depan iaitu pembaikan paip pecah dan mengaktifkan Loji Bukit Berapit lapan bulan telah awal dari jadual asal.

Tambah beliau, Loji Bukit Berapit yang disasarkan membekalkan 60 juta meter padu air sehari akan menjadi pusat pembekalan air utama bagi penduduk menggantikan Tangki Utama Berangan yang kini terjejas.

Pelbagai spekulasi timbul mengenai masalah itu antara akibat aktiviti ekonomi yang pesat berhampiran kawasan tersebut.

Secara logiknya, jajaran paip utama yang kini baru berusia 15 tahun itu sepatutnya masih utuh kerana jangka hayatnya boleh menjangkau 60 tahun.

Mengulas desas-desus itu, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi melakukan siasatan sekali gus memberi cadangan penyelesaian dan tindakan kepada kerajaan negeri Terengganu berhubung insiden paip pecah tersebut.

“Jawatankuasa khas itu telah diberi tempoh selama 30 hari sehingga 10 September depan untuk membentangkan laporan berkenaan,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Syarikat Air Terengganu (Satu) berkata, krisis air itu juga memberi pengajaran untuk memulihara 10 jajaran paip air yang terdapat di dasar sungai dan laut di seluruh Terengganu.

Jelasnya, kewujudan paip air di dasar sungai dan laut itu disebab­kan sempadan lapan daerah di Terengganu dipisahkan dengan sungai selain mempunyai rangkaian pulau se­perti Pulau Redang dan Pulau Perhentian.

“Saya sudah arahkan penan­daan yang lebih jelas dilakukan pada lokasi semua jajaran paip air di dasar sungai dan laut untuk memastikan aktiviti yang boleh memberi risiko kepada jajaran paip itu dapat dikurangkan pada masa depan,” katanya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI