fbpx

Kelab England utuh bertahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LUKAKU kembali ke Stamford Bridge selepas melengkapkan perpindahan dari Inter Milan. - AFP

BERITA penghijrahan bintang sensasi dunia, Lionel Messi yang akhirnya meninggalkan Barcelona untuk menyertai Paris Saint-Germain mendominasi jendela perpindahan musim panas kali ini.

Masalah kewangan Barcelona yang meruncing selain sekatan Peraturan Kewangan Adil (FFP) menyebabkan hubungan Messi dan kelab yang diwakilinya sejak 17 tahun lalu menemui titik noktah.

Apa yang jelas, pandemik koronavirus bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan manusia tetapi impaknya turut dirasai oleh segenap aktiviti termasuk pengurusan kelab bola sepak sehinggakan Barcelona yang dianggap antara kelab terkaya dunia juga gagal mengawal impaknya.

Bukan sahaja Barcelona tetapi banyak lagi kelab-kelab gergasi Eropah khususnya terpaksa akur dan perlu mengubah struktur kewangan mereka dengan memotong gaji pemain atau terpaksa menjual pemain tonggak demi kelangsungan kelab masing-masing.

Sepanjang serangan Covid-19, pasukan-pasukan ini terpaksa beraksi di stadium yang kosong sedangkan kutipan tiket dan pas bermusim menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan kelab.

Bagaimanapun, dalam suasana muram itu, pujian harus diberikan kepada kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang masih mampu menguruskan kesan pandemik tanpa menjejaskan sumber kewangan.

Jendela perpindahan musim panas kali ini menyaksikan kelab-kelab dari England cukup dominan menguasai pasaran terutama lima pasukan yang dianggap sebagai ‘big five’ iaitu Manchester City, Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Liverpool telah mengeluarkan dana berjumlah €554.5 juta (RM2.748 bilion) bagi mendapatkan pemain baharu.

Arsenal yang melalui tempoh paling sukar musim lalu apabila menamatkan saingan liga di kedudukan kelapan dan gagal layak ke saingan Eropah buat kali pertama dalam tempoh 25 tahun mengambil langkah yang cukup drastik dengan mengeluarkan dana besar membeli beberapa pemain baharu.

The Gunners membelanjakan €147 juta (RM728.71) untuk membawa masuk lima pemain baharu, United mendapatkan Jadon Sancho dan Raphael Varane dengan nilai €125 juta (RM619.65 juta), manakala Liverpool mendapatkan seorang pemain iaitu Ibrahim Konate pada harga €40 juta (RM198.29 juta).

City pula mampu mengeluarkan €117.5 juta (RM582.47 juta) untuk mendapat hanya Jack Grealish dari Aston Villa yang sekali gus menjadi pemain termahal di EPL, manakala Chelsea juga berani mengeluarkan dana €115 juta (RM570.08 juta) untuk membawa pulang Romelu Lukaku.

Ketika jendela perpindahan hanya akan ditutup pada 31 Ogos nanti, masih banyak lagi berita perpindahan pemain yang dikaitkan dengan kelab England terutama melibatkan beberapa bintang seperti Harry Kane dan Erling Haaland misalnya.

Kane dikaitkan dengan City, manakala Haaland mungkin ke Old Trafford dan jika kedua-dua perpindahan ini berjaya dilengkapkan pada jendela kali ini, ia akan menjadi perpindahan super mega yang melibatkan nilai lebih RM1 bilion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI