TEXAS – Kapten Argentina, Lionel Messi muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Piala Dunia selepas meledak dua gol ketika membantu pasukan itu menang 2-0 ke atas Austria pada aksi Kumpulan J bagi edisi 2026.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Dallas awal pagi tadi, dua jaringan dilakukan pada minit ke-38 dan 95 menyaksikan pemenang Ballon d’or lapan kali itu kini mengumpul 18 gol Piala Dunia, memintas rekod 16 gol milik legenda Jerman, Miroslav Klose.
Bagaimanapun, Messi pada awalnya bermula dengan rentak sumbang apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti di minit kelapan apabila sepakan yang dilakukan langsung tidak menepati sasaran.
Kemudiannya, Argentina terus melakukan asakan demi asakan ke arah pintu gol Austria dan saat ditunggu-tunggu akhirnya tiba apabila Messi membuka tirai jaringan pada minit ke-38 selepas menerima hantaran Facundo Medina.
Tersentak dengan gol pendahuluan, Austria kemudiannya memperkemaskan permainan dan melakukan serangan demi serangan, namun buntu untuk menembusi pintu gol Argentina sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Argentina dan Austria saling berbalas serangan dengan kedua-dua pasukan mencipta beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol.
Ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan kedudukan 1-0, Messi sekali lagi mempamerkan magis apabila meledak gol kedua selepas melakukan tindakan susulan sebaik sahaja percubaan pertamanya diselamatkan.
Kemenangan itu turut mengesahkan kemaraan Argentina ke pusingan kalah mati apabila sudah mengumpul enam mata hasil dua kemenangan selain belum melepaskan sebarang gol pada edisi kali ini. – AGENSI














