TANGKAK – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mencampuradukkan institusi Raja-Raja Melayu dalam arena politik, sebaliknya memastikan Pilihan Raya Negeri (PRN) kekal sebagai pertandingan antara parti.
Beliau berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang menetapkan sempadan jelas antara peranan institusi dan ruang politik pilihan raya.
Ujarnya, beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail pada petang semalam bagi menjelaskan keadaan serta memperincikan beberapa perkara berkaitan isu tular.
“Saya bukan jenis pergi depan hanya angguk-angguk. Saya dengar pandangan, saya balas. Kalau ada nasihat, saya terima dengan baik.
“Dalam sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita kena faham ada batasnya. Pilihan raya ini pilihan raya antara parti, jangan kita kaitkan institusi lain dalam kempen politik,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi PRN Johor di Bukit Gambir, di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin boleh dibincangkan secara baik melalui saluran yang sesuai tanpa perlu diperbesar di ruang awam.
Beliau turut menyifatkan pertemuan bersama Pemangku Sultan Johor itu berlangsung dalam suasana terbuka, harmoni dan penuh hormat.
“Jadi saya tak mahu dikaitkan dengan masalahnya, saya tahu viral dalam media sosial, apalagi yang menimbulkan kesangsian dan sebagainya.
“Walaupun ada masalah dan tak setuju dan sebagainya kita runding dengan baik dan kita mengadap dan jelaskan, itu pendirian saya selama ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














