fbpx

Ramalan pasukan juara EPL 2021/22

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Salah.

LIGA Perdana Inggeris (EPL) yang membuka tirai pada 14 Ogos lalu dikejutkan dengan kekalahan Arsenal 0-2 kepada pendatang baharu, Brentford. Bukan hanya The Gunners bahkan juara bertahan Manchester City turut rebah 0-1 dek penangan Tottenham Hotspur.

Selain Arsenal, City dan Spurs, keputusan melibatkan pasukan tumpuan lain nampak positif terutama Manchester United yang menang besar 5-1 ke atas Leeds United di Old Trafford,

Chelsea menang mudah 3-0 ke atas Crystal Palace, manakala Liverpool bergaya membenam pendatang baharu, Norwich 3-0.

Begitulah indahnya saingan EPL yang penuh warna-warni. Minggu pertama sahaja sudah memberikan pelbagai macam drama, suka dan duka. Malah, pelbagai perdebatan, andaian, telahan, ramalan atau analisis kononnya pasukan warna biru kemerahan bakal juara.

Ironinya, tiada pasukan yang dijamin juara berdasarkan aksi minggu pertama kerana perjalanan masih panjang, ada 37 perlawanan. Malah, kemenangan besar aksi pertama juga bukan jaminan.

Berdasarkan pendapat selain tinjauan rawak ramalan media-media sohor di England, penulis harus akui bahawa skuad The Citizens masih memiliki kemampuan bergelar juara musim 2021/2022.

Apa tidaknya, pengendalinya, Pep Guardiola telah membina pasukan yang gah pada benteng pertahanan terkuat liga selain ada beberapa pemain kreatif terbaik dunia. Malah, sekiranya City berjaya mendapatkan penyerang Spurs, Harry Kane, maka sukar untuk melihat skuad Guardiola tidak menjulang kejuaraan.

Skuad The Reds bimbingan Jurgen Klopp pula diramalkan muncul sebagai naib juara atas alasan beberapa watak utama Liverpool seperti Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Jordan Henderson kembali cergas. Pada masa sama, Mohamed Salah dan Sadio Mane mendapat rehat cukup pada musim panas lalu sekali gus memberi kesegaran buat skuad Merseyside itu.

Kedudukan ketiga bakal disambar Manchester United. Tidak dapat dinafikan, segelintir pihak kurang menaruh keyakinan terhadap pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer, namun tugas yang dilakukannya di United nampak positif dan progresif.

Menariknya, kesebelasan utama United dijangka paling sukar dijinakkan oleh mana-mana pasukan dalam liga. Skuad The Red Devils akan muncul pasukan terkuat pada tahun ini jika mereka mampu memastikan tahap kecergasan Edison Cavani dan Jadon Sancho sepanjang musim nanti.

Seterusnya, kedudukan keempat bakal dihuni Chelsea. Melihat kepada skuad The Blues, pasukan itu dibina seolah-olah untuk mengharugi kejohanan kalah mati. Tidak dinafikan, pengurusnya, Thomas Tuchel mempunyai kemampuan seperti Jose Mourinho, namun adakah Chelsea memiliki daya konsisten musim ini?

Mampukah Chelsea mencabar kejuaraan dengan kehadiran Romelu Lukaku yang pada asasnya melengkapkan skuad berbakat itu, namun The Blues perlu digilap lebih lagi jika ingin menjulang mahkota EPL musim ini.

Pada penulis, waima apa pun berlaku pada minggu pertama, ia belum beri bayangan tentang sang juara.-K! ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI