fbpx

Tembakan: Anggota TUDM tembak rakan sebelum bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kem Tentera Udara Diraja Malaysia Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN – Empat anggota tentera maut dalam kejadian tembak di Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, pagi ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail yang mengesahkan kes itu berkata, kejadian berlaku pukul 7.15 pagi di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

“Siasatan awal mendapati salah seorang anggota TUDM dipercayai telah menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri.

“Suspek dan dua mangsa telah maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang cedera parah telah dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa yang sama, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Sudirman Kram dalam satu kenyataan lain berkata, kejadian terbabit dipercayai berlaku apabila suspek telah masuk ke kawasan balai dan mengambil senjata api.

“Melihat suspek mengambil senjata api, salah seorang anggota tentera yang berada di tempat kejadian telah bertanya kepada suspek namun suspek hanya membalas dengan soalan ‘Nak hidup atau mati?’

“Seorang lagi anggota tentera cuba menenangkan suspek tetapi suspek telah melepaskan tembakan ke arah perut si mangsa.

“Mendengar bunyi tembakan, kesemua saksi yang berada di lokasi sama telah lari bertempiaran menyelamatkan diri,” katanya.

Mangsa yang cedera telah dikejarkan ke Pusat Jantung Sarawak namun telah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 9 pagi semasa sedang menerima rawatan.

Dua lagi anggota tentera turut maut di tempat kejadian, masing-masing cedera di bahagian belakang dan dada sebelah kanan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI