fbpx
Tangkap layar antara portal berita antarabangsa yang melaporkan berita pemergian Allahyarham Siti Sarah.

Pemergian Siti Sarah dapat perhatian media antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Berita pemergian penyanyi terkenal, Siti Sarah Raissuddin semalam bukan sahaja mendapat liputan meluas media negara ini, malah turut mendapat perhatian pada peringkat antarabangsa.

Kisah sedih melibatkan isteri kepada pelawak dan pelakon, Shuib itu telah disiarkan di portal media terkenal dunia di United Kingdom iaitu BBC News.

Laporan tersebut disiarkan menerusi berita bertajuk ‘Malaysian singer dies of Covid, day after giving birth’ (Penyanyi Malaysia meninggal dunia akibat Covid selepas melahirkan anak).

Susulan laporan itu, rata-rata pengguna media sosial tersentuh dengan pengorbanan arwah sebagai ibu dan menganggap ia sebagai satu berita yang memilukan akibat virus Covid-19 yang sedang menyerang dunia.

Pada masa sama, mereka turut menitipkan ucapan takziah dan simpati ke atas keluarga Siti Sarah di Facebook rasmi portal itu.

“Ini adalah berita yang menyedihkan untuk wanita ini serta keluarganya. Rasa simpati yang begitu mendalam daripada saya buat mereka dalam menempuh detik penuh dugaan ini,” tulis seorang pengguna.

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Soonoo Malkani.

“Tragik, tetapi ibu mengorbankan hidupnya supaya bayinya boleh hidup. Inilah kasih sayang ibu, semoga anda tenang di sana,” ujarnya.

Selain BBC, khabar duka itu turut dilaporkan News portal CNA Lifestyle Asia dan Liputan.6 dari negara jiran Indonesia.

Kosmo! Online semalam melaporkan Siti Sarah yang juga isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Siti Sarah, 36, yang dimasukkan ke hospital berkenaan sejak Rabu lalu akibat Covid-19 menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.13 pagi semalam.

Perkara tersebut disahkan sendiri Shuib menerusi satu muat naik di laman Instagramnya.

Sebelum ini, penyanyi lagu Kesetiaan yang hamil lapan bulan itu terpaksa melalui proses pembedahan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih berisiko.

Dia kemudiannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUKM selepas kesihatannya terus merosot.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272

POPULAR