BACHOK – Selepas bertarung nyawa lebih 17 jam, seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lembam akhirnya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala apabila dipercayai dipukul dalam kejadian di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini semalam.
Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd. Zainal, 20, ditemui terbaring oleh penduduk kampung dengan berlumuran darah pada muka dalam keadaan masih bernyawa di kawasan tersebut pada pukul 7.30 pagi sebelum menghembuskan nafas di Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian kira-kira pukul 12.45 malam tadi.
Seorang penduduk, Mohd. Yusoff Shafei, 60, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada rakannya berhubung penemuan seorang lelaki yang dijumpai dalam keadaan terbaring berhampiran sebuah motosikal jenis Honda C70.
Menurutnya, dia kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati mangsa sedang mengerang kesakitan.
“Saya terus menghubungi talian kecemasan selepas melihat keadaan mangsa yang kritikal. Melihat keadaan darah yang sudah kering pada mukanya, saya pada mulanya syak dia terlibat dalam kejadian langgar lari.
“Lelaki itu bukan penduduk di kampung ini. Mungkin dia dibawa sebelum ditinggalkan di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, keadaan mangsa ketika seperti nyawa-nyawa ikan sebelum dibawa ke HPUSM untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














