PETALING JAYA – Usaha pemulihan pasca kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan mula digerakkan dengan pelbagai bantuan segera termasuk agihan makanan kepada mangsa terjejas.
Sejurus kejadian, McDonald’s Malaysia di Sandakan bertindak pantas dengan menyediakan hampir 2,000 hidangan makanan dan minuman untuk diagihkan kepada mangsa, anggota barisan hadapan serta sukarelawan di lokasi.
Bantuan itu diteruskan dengan tambahan 4,000 lagi hidangan yang diagihkan di lima PPS sehingga hujung minggu ini bagi memastikan keperluan asas mangsa terus terjamin.
Secara keseluruhan, lebih 6,000 hidangan disasarkan untuk diagihkan kepada komuniti terjejas sebagai usaha meringankan beban mereka sepanjang tempoh mencabar ini.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, semangat kebersamaan amat penting bagi memastikan mangsa tidak berdepan situasi itu secara bersendirian.
“Respons yang kita lihat di Sandakan mencerminkan tanggungjawab bersama, dan kami berharap usaha ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Dalam masa sama, pelbagai agensi termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Rela turut berganding bahu menyelaras bantuan di lapangan.
Bantuan yang disalurkan meliputi keperluan asas seperti makanan, tempat perlindungan dan sokongan kepada mangsa yang kehilangan kediaman dalam kejadian tersebut.
Menerusi Program Komuniti @ McDonald’s, lebih 10,000 aktiviti dilaksanakan setiap tahun termasuk sumbangan makanan ketika bencana dan bantuan kepada golongan memerlukan. – KOSMO! ONLINE














