fbpx

Belasungkawa: Kepergian pilu Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI SARAH RAISSUDDIN

TIGA hari ditidurkan, Siti Sarah Raissuddin hanya bangkit dengan satu panggilan Ilahi ke negeri abadi. Sarah pergi meninggalkan semua cinta dunianya, karier, suami, anak-anak dan paling sayu, tidak sempat menatap anak kecil yang diperjuangkan sehingga lapan bulan dalam kandungan, Ayash Affan. Semuanya, angkara Covid-19.

SITI SARAH meninggal dunia pada pukul 5.13 minit pagi semalam.

Kepergian, tragik pilu

SIAPA sangka, wanita ceria bernama Siti Sarah Raissuddin menoktahkan riwayat hidupnya asbab angkara virus yang sedang membuntukan seluruh dunia, bergelar Covid-19.

Hampir tiga hari ditidurkan, rupa-rupanya satu persediaan untuk dia pergi selama-lamanya.

Satu Malaysia tersentak dengan berita pemergian pelantun lagu Kesetiaan itu.

Tiada lagi tawa ceria, senyuman manis dan kelincahan fizikal daripada insan yang mesra dibahasakan Sarah itu.

Tepat pukul 5.13 lagi, hayat dunianya berakhir di atas katil unit rawatan rapi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), semalam.

Satu realiti pahit yang sukar ditelan terutama buat suaminya, Shuib sekeluarga, namun itulah yang berlaku.

Menderaskan emosi sayu seluruh insan yang mengenali sosoknya, Sarah gugur daripada perjuangan, namun sempat meninggalkan harta yang menjadi amanah akhirnya, sebuah anugerah nyawa yang hanya sempat diperjuangkan selama tujuh bulan dalam rahimnya bernama Ayash Affan.

Nota ringkas berbunyi; “5.13 pagi, 9 Ogos 2021 bidadari syurga saya pergi buat selamanya,” tulisan Shuib dalam Instagramnya, cukup menjadi awan mendung meruntun banyak jiwa, khususnya Shuib sendiri.

Jujurnya, buat wartawan hiburan setahun jagung seperti penulis, 10 tahun pertama ini bukan satu tempoh yang melayakkan penulis untuk mengakui kenal siapa Sarah.

Namun dari jauh sahaja, penyanyi berusia 37 tahun terserlah sebagai anak seni yang sangat berkaliber.

Mungkin pengetahuan yang satu ini kurang dicanang kepada ramai tetapi kerjaya Siti Sarah ‘mendarat’ dengan cukup sempurna ketika awal kemunculannya sebagai penyanyi.

Allahyarham berjaya menggondol anugerah Artis Baharu Terbaik, Album Pop Terbaik dan Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM 2003) sekali gus meletakkan dirinya sebagai ‘permata’ yang perlu diberi perhatian dalam industri seni tanah air.

Ketika itu, namanya bersaing kuat dengan seorang penyanyi seangkatan, Misha Omar yang disebut-sebut sebagai penyambung legasi penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Mereka sama-sama bercambah menjadi vokalis hebat tanah air.

SEPANJANG pernikahan mereka sejak 26 Februari 2011, umum tahu Siti Sarah dan Shuib telah melalui kehidupan getir sebelum memperoleh kejayaan dalam bidang perniagaan yang diceburi. Katakan apa sahaja kritikan mahupun kecaman, semuanya ditelan tanpa banyak melatah.

Doa rakan seperjuangan

Hampir 20 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, segala-gala tentang Sarah terlihat sempurna. Keluarga, karier, perniagaan dan hubungan kerohaniannya dengan Tuhan semakin terserlah, namun semuanya hilang bagai sekelip mata.

Pemergian Sarah ditangisi peminat dan rakan industri.

Antara yang terkesan termasuklah Misha Omar yang sempat berkongsi video momen persahabatannya bersama Sarah.

Tidak henti-henti doa dipanjatkan, namun apakan daya, Tuhan lebih menyayangi ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Bagi Misha, sepanjang lebih dua dekad mengenali Sarah yang sudah dianggap sebagai adiknya sendiri, pasti tersemat pelbagai kenangan, pahit manis, suka-duka dan segala rencam hidup tika sama-sama membina nama sebagai anak seni.

“Secara peribadi, Sarah merupakan seorang adik yang cukup saya kagumi dan sanjung bakat serta budi bahasanya.

“Pada awal pertemuan kami menerusi program Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-13 pada 2001, Sarah sangat disenangi. Dia mudah mesra dengan semua dan seorang yang sangat positif.

PALING hiba, Siti Sarah yang dijemput Ilahi pada usia 37 tahun pergi meninggalkan anak-anak yang masih kecil, termasuk Ayash Affan yang baru dilahirkan Jumaat lalu.

“Dalam kerja dia sangat komited. Saya mengagumi suara dia yang amat ‘soulful’ dan tidak ada pada semua artis. Dia juga jenis periang dan tak suka kalau tengok rakan-rakan dalam keadaan susah dan bermuram durja,” kata Misha.

Dalam pada itu, seorang lagi rakan seperjuangan Allahyarham iaitu Azharina Azhar memberitahu, Siti Sarah seorang yang sangat tabah dan tidak mudah berputus asa.

“Siti Sarah yang saya kenal sejak usia 16 tahun seorang yang kuat, tabah dan takkan mengaku kalah dalam hidup. Dia juga seorang ibu yang penyayang, isteri yang taat setia kepada suami dan seorang penyanyi yang sangat hebat

“Susah senang kita dari zaman anak dara sampai ke saat kita bersama dalam Gegar Vaganza, saya masih ingat. Biarlah semua itu menjadi kenangan abadi buat saya. Doa saya dan yang lain teriring buatmu pada setiap waktu,” kata Azharina.

Kerjaya nyanyian Siti Sarah ada pasang surutnya. Bermula daripada program realiti, Bintang RTM pada 2001, dia juga pernah menyertai One In A Million (OIAM) musim kedua dan kembali meledak saat bertarung dalam pertandingan Gegar Vaganza musim ketiga.

SEBAGAI artis, Siti Sarah lahir daripada pertandingan bakat, bukannya populariti.

Penyanyi perfectionist – Ajai

Sebelum bergelumang dalam dunia nyanyian arus perdana, barangkali ramai yang tidak mengetahui, Siti Sarah pernah menyertai pertandingan Bintang URTV dan menjadi juara.

Merupakan antara komposer terawal yang berjaya menghidu bakat nyanyiannya, Ajai atau nama lengkapnya, Mohd Faizal Maas memaklumkan, Siti Sarah merupakan seorang penyanyi yang perfectionist atau mengutamakan kesempurnaan.

“Dari segi notasi dan emosi, dia tahu bagaimana meletakkan semua itu dalam seni nyanyiannya.

“Saya masih ingat lagi kali pertama bertemu dengannya ketika final Bintang URTV sekitar tahun 2000 di Saloma Bistro. Saya dengar dia nyanyi, saya dah dapat agak dia akan menang pertandingan itu.

“Dia dilahirkan untuk menjadi seorang penyanyi,” kata Ajai.

SITI SARAH (kanan) bersama dan Noryn Aziz pernah bergabung dalam Konsert Soul Sisters Panggung Sari, Istana Budaya pada April 2019.

‘Lapik surat khabar di studio rakaman’

HibGlam sempat menghubungi Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah yang pernah bekerja dengan Siti Sarah menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan yang dilancarkan sekitar 2007.

Kata Jamal, disiplin dan integriti Sarah sebagai seorang penyanyi sangat tinggi terutama apabila merakamkan lagu di studio.

“Siti Sarah yang saya kenal merupakan seorang penyanyi yang sangat teliti. Dia selalu risau dengan ‘pitching’ dan penyampaiannya.

“Bekerja dengannya menerusi lagu Sandarkan Pada Kenangan membuka mata saya bahawa Malaysia memang ramai vokalis wanita yang hebat, termasuk Siti Sarah.

“Berkongsi memori atau bibit kenangan dengan Siti Sarah, kata Jamal, dia masih ingat satu perkara lucu ketika merakamkan lagu Sandarkan Pada Kenangan.

SEBAGAI penyanyi, Siti Sarah lahir daripada pertandingan bakat, bukannya populariti.

Ujarnya, disebabkan saiz fizikal Siti Sarah yang sedikit kecil dan rendah, dia mengalas atau melapik kakinya dengan helaian surat khabar agar dapat mencapai mikrofon dan berdiri sama tinggi dengan Jamal.

Itu antara kenangan manis yang sempat terungkap sebagai satu penghormatan buat wanita bernama Siti Sarah Raisuddin.

Sehingga semalam, cinta dan amanahnya sebagai seorang anak, isteri, ibu, sahabat seterusnya saudara seagama sesama Muslim sudah menemui titik akhir.

Tiada siapa menyangka yang kepergiannya ke negeri abadi disebabkan Covid-19.

Semoga segala kebaikannya di dunia menjadi bekalan buatnya menempuhi alam berikutnya dalam fasa kehidupan seorang manusia.

Selamat jalan ke negeri abadi, Siti Sarah Raisuddin (15 September 1984 – 9 Ogos 2021).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI