fbpx

Saya percaya dia sedang bahagia ‘di sana’ – Noryn Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noryn menyifatkan Siti Sarah seorang yang baik hati dan disenangi ramai.

PETALING JAYA – “Ketika kami jayakan konsert Soul Sisters dua tahun lalu. Sarah tahu saya tidak sihat. Dia yang beri ubat pada saya. Dia benar-benar ambil berat tentang saya ketika itu.”

Itu antara kenangan yang tidak akan dilupakan  penyanyi Noryn Aziz tentang sahabat yang dianggap sebagai adiknya sendiri, Allahyarham Siti Sarah.

Ujar Noryn, dia menyifatkan Sarah sebagai seorang insan yang baik hati dan disenangi ramai pihak yang selesa dengannya.

“Selepas menjayakan konsert Soul Sisters, hubungan kami menjadi akrab. Kami selalu keluar bersama. Masing-masing jadi tempat meluahkan masalah.

“Sarah sangat baik hati. Sebab itu semua orang sayang pada dia. Saya seperti tidak percaya Sarah sudah tiada sebab semuanya berlaku dengan cepat,” ujar Noryn kepada Kosmo!

Ditanya tentang kenangan yang mungkin tidak akan dapat dilupakan bersama Sarah, Noryn berkata terlalu banyak momen manis antara mereka berdua.

“Banyak kenangan antara saya dengan Sarah. Dia selalu ada saat saya memerlukan. Lagi satu, Sarah tidak pernah lokek dan berkira pun tentang apa sahaja.

“Kami kerap keluar bersama dan bersembang menerusi WhatsApp. Tapi kini semuanya sudah menjadi kenangan,” luah Noryn dalam nada sebak.

Biar pun sedih dengan berita kematian Sarah, Noryn atau nama sebenarnya Norazmahwati Abdul Aziz reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

“Walaupun susah untuk saya percaya bahawa Sarah sudah tiada, sebagai umat Islam saya harus reda dengan ketentuan oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Ratu Jazz Malaysia itu turut menitipkan doa dan kata semangat untuk Shuib supaya tabah dan kuat atas kehilangan isteri tercinta.

“Saya harap Shuib tabah dan kuat atas kehilangan Sarah. Saya tahu Shuib seorang suami yang manjakan Sarah.

“Saya percaya Sarah sedang bahagia di sana,” ujar Noryn.

Terdahulu, Sarah atau nama lengkapnya Siti Sarah Raissuddin, 37, menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sekitar pukul 5.13 pagi akibat Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI