KLANG – Bangunan separa kekal dicadangkan dibina di dewan serbaguna Pelabuhan Klang di sini yang kini beroperasi sebagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang berkata, langkah itu bagi mengelakkan kejadian khemah roboh akibat ribut yang berlaku semalam berulang di masa depan.
Katanya, antara tindakan penambahbaikan lain adalah dengan menggantikan khemah yang rosak.
“Kejadian ribut itu menyebabkan kerosakan kepada 15 buah khemah dengan satu daripadanya rosak teruk yang ditempatkan di luar dewan sebagai ruang menunggu pesakit.
“PKD Klang sedang menunggu laporan penuh kerosakan khemah-khemah agensi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PKD Klang turut memberitahu, dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu turut menyebabkan dua orang pesakit cedera ringan dan telah diberi rawatan yang sewajarnya selain tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Ujarnya, tiga buah kenderaan juga mengalami kerosakan kecil dan pihak polis telah mengarahkan pemilik kenderaan untuk membuat laporan di Balai Polis Trafik yang terdekat.
Untuk rekod, CAC daerah Klang mula beroperasi di Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang bermula pada 30 Julai lalu susulan pemindahan dari Dewan Sukan Taman Andalas yang sebelum ini mendapat bantahan penduduk.
Purata kedatangan pesakit di dewan ini adalah antara 1,000 hingga 1,500 kes sehari. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929














