fbpx

Bijak menilai isu viral

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
WARTAWAN EKSEKUTIF, SITI AMINAH MOHD. YUSOF

KEBANYAKAN kita sukar menolak tarikan media sosial wujud dalam pelbagai platform antaranya seperti Facebook, Instagram, Twitter, TikTok dan YouTube.

Ibarat nyawa kedua ia menjadi sebahagian daripada kehidupan kita dengan keupayaannya merentasi sempadan tempat dan waktu.

Media sosial kita jarang sunyi dengan pelbagai isu yang datang bersilih ganti dengan watak-­watak serta memiliki pelbagai ra­gam dan rencam.

Harus diperhatikan, media sosial turut membawa bersama budaya tular dan amalan ‘membawang’ siber yang berupaya mempengaruhi fikiran kita secara spontan.

Apa sahaja hantaran hatta Instagram Story yang cuma beberapa saat boleh ditangkap layar lalu dikongsi secara meluas dan diperdebatkan berhari-hari lamanya.

Namun, tidak dinafikan kuasa­ tular telah membantu ramai orang menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masa singkat dan mengalahkan segala macam prosedur termasuk kere­nah birokrasi.

Ia turut didorong dengan sikap masyarakat kita yang ter­kenal dengan sikap pemurah dan mudah bersimpati dengan kesusahan orang lain.

Perkara itu terbukti dengan kejayaaan kempen bendera putih yang dilancarkan rakyat pada bulan lalu.

Justeru, pada musim pandemik yang menyaksikan peningkatan jangkitan Covid-19 yang tidak menunjukkan petanda akan reda dalam masa terdekat, apa kata kita manfaatkan kuasa tular untuk membantu seramai mungkin insan di sekeliling kita.

Apatah lagi dalam keadaan rakyat Malaysia yang sedang berkurung membuatkan pergerakan kita agak terbatas untuk turun padang dan hadir secara fizikal dalam memberi bantuan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara Melaka,­ Siti Hajar Abd Aziz berkata, naratif kisah tular mampu­ me­nyalur mesej secara berkesan sekali gus memboleh­kan usaha memberi bantuan dilakukan dengan pantas.

“Sebagai contoh ketika ini ramai yang menjadi yatim piatu kerana kedua-dua ibu bapa me­ninggal dunia akibat Covid-19. Jadi kuasa tular boleh boleh menyampaikan maklumat kepada pemimpin dan masyarakat.

“Tetapi netizen juga perlu bijak menilai dan memeriksa kesahihan kisah yang ditularkan kerana dikhuatiri ada yang mengambil kesempatan di atas kebaikan hati rakyat Malaysia.

“Misalnya dengan tindakan memanipulasi gambar atau meminda maklumat seperti nombor akaun dan nama penerima boleh menyebabkan bantuan sampai ke tangan orang yang salah,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman ­Abdul Latiff turut menyarankan peniaga­ yang terjejas memanfaatkan kuasa tular untuk survival kehidupan mereka.

“Ia tidak semestinya menggunakan teknik pemasaran digital yang canggih atau melibatkan pembikinan video yang memerlukan aplikasi tertentu.

“Apa sahaja sumber terhampir misalnya kumpulan ­WhatsApp taman perumahan atau kumpulan bisnes di laman Facebook boleh dimanfaatkan sebaik mungkin sebagai platform pemasaran,” katanya.

Namun, walau apa juga matlamat kita, harus diingat, media sosial dan kuasa tular cuma alat. Ia bagaikan pisau yang boleh digunakan untuk memasak hidangan yang lazat atau membunuh.

Jadi, alang-alang berada di medan media sosial membawanglah ke arah kebaikan. ­Teruskan membawang jika ia boleh menyelamatkan nyawa dan jiwa.

Sentiasa bersederhana dalam mengemukakan pandangan sesuai ajaran Rasulullah SAW, berkata baik ataupun diam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI