fbpx
Poster yang dikongsi PHM di Facebook hari ini.

Bantu siapkan kerja sekolah didik anak jadi kurang tanggungjawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keinginan ibu bapa untuk membantu menyiapkan kerja sekolah anak-anak bagi mengelakkan mereka dimarahi guru boleh memberi impak negatif yang serius terhadap perkembangan psikologi mereka.

Menerusi hantaran di Facebook, Public Health Malaysia (PHM) berkata, tindakan tersebut boleh menyebabkan kanak-kanak tersalah tafsir dan mempelajari perkara yang tidak sepatutnya dalam proses tumbesaran mereka.

Menurut PHM, dari sudut psikologi, tabiat mengambil alih tugasan sekolah anak secara tidak langsung mendidik mereka untuk mempercayai bahawa setiap kali berhadapan dengan kesukaran, individu lain akan sentiasa datang untuk menyelesaikannya.

“Anak-anak juga akan belajar bahawa hasil akhir adalah jauh lebih penting daripada usaha sendiri, selain mula menanam persepsi bahawa melakukan kesilapan itu adalah satu perkara yang memalukan, bukannya sebahagian daripada proses belajar.

“Malah, mereka boleh kehilangan keyakinan diri kerana jauh di sudut hati, mereka tahu tugasan itu bukan hasil kerja sendiri,” katanya dalam hantaran tersebut.

PHM berkata, dalam tempoh jangka masa panjang, sikap itu berisiko membentuk personaliti anak yang mudah bergantung kepada orang lain, cepat mengalah, takut untuk mencuba, serta kurang rasa tanggungjawab.

Apabila berdepan tugasan yang sukar pada masa hadapan, pemikiran mereka tidak lagi tertumpu kepada cara untuk mencuba, sebaliknya akan terus mencari siapa yang boleh membantu menyelesaikannya.

Sehubungan itu, PHM menegaskan kerja sekolah bukan sekadar untuk mendapatkan jawapan yang betul semata-mata, tetapi ia merupakan platform latihan untuk anak-anak belajar mengurus masa, berdisiplin, bersabar, berfikir, dan menerima akibat kecil daripada pilihan sendiri.

Oleh itu, tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan duduk di sebelah anak untuk membantu mereka memahami kehendak soalan, memecahkan tugasan yang sukar kepada bahagian kecil, memberikan masa rehat yang cukup, serta sentiasa menyemak bersama sambil memuji usaha mereka.

Dalam pada itu, PHM turut menasihati ibu bapa agar bersikap jujur dengan menulis nota kepada guru sekiranya anak-anak sememangnya tidak mampu menyiapkan tugasan tersebut akibat terlalu sukar atau terlalu banyak.

“Anak perlukan ruang untuk mencuba, salah, belajar dan rasa bangga bahawa akhirnya dia berjaya buat dengan tangan sendiri,” ujar PHM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN