fbpx

10 ditahan sertai parti liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara 10 individu yang ditahan ketika serbuan polis di sebuah pangsapuri semalam.

KUALA LUMPUR – Keseronokan 10 individu berparti liar dalam sebuah pangsapuri di Jalan Imbi di sini terbantut apabila diserbu oleh pihak polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kediaman tersebut diserbu pihak polis pada pukul 7.30 malam.

“Dalam serbuan itu, polis telah menahan lima orang lelaki serta lima wanita dipercayai pasangan kekasih berusia 18 hingga ke 40 tahun.

“Polis juga merampas alat pembesar suara serta beberapa minuman keras yang dipercayai digunakan untuk berhibur,” katanya di sini semalam.

Katanya, pemeriksaan polis turut mendapati dua daripada mereka telah merentas negeri tanpa kebenaran untuk ke apartment tersebut.

“Kedua-dua lelaki berusia 30-an itu didapati merentas negeri dari Sungai Buloh dan Kajang, Selangor.

“Siasatan juga mendapati kediaman itu telah disewa selama dua hari dengan bayaran RM130 sehari oleh salah seorang daripada suspek yang ditahan,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, saringan awal air kencing pula mendapati sembilan daripada 10 suspek itu positif dadah dan dipercayai mengambil bahan terlarang itu di apartment berkenaan.

“Polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang kepada semua individu berkenaan selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal.

“Kompaun RM5,000 turut dikenakan setiap seorang terhadap dua individu yang merentas negeri tanpa kebenaran,” jelasnya.

Menurutnya, semua suspek berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI