fbpx
WAKIL syarikat pembuatan makanan (tengah) yang didenda RM25,000 atas pertuduhan gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat hingga menyebabkan kecederaan kepada pekerjanya, April 2020.

Syarikat didenda RM25,000 gagal patuh SOP keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Sebuah syarikat pembuatan makanan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal mengadakan prosedur kerja yang selamat hingga menyebabkan kecederaan kepada pekerjanya, April lalu.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak dalam satu kenyataannya berkata, Syarikat Bestcan Food Technological Industry Sdn. Bhd. itu dijatuhi hukuman denda setelah mengaku bersalah di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Syarikat tersebut yang diwakili pengurus lojinya itu juga berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, syarikat berkenaan sebagai majikan gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti kerja ‘troubleshooting’ pada mesin sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan kepada seorang pekerja lelaki warga tempatan berusia 32 tahun.

Kemalangan pada 30 April 2020 itu menyebabkan tangan mangsa tersepit pada ‘endsealer’ mesin dan mengalami kecederaan pada jari tangan kanan.

Kecederaan tersebut adalah luka terbuka pada jari telunjuk, putus jari tengah, putus jari manis dan putus dua ruas jari kelingking.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM50,000, penjara atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JKKP Perak, Mudzaffar Anwar Husain dan Mohd. Fadhil Abu Yazid manakala syarikat itu diwakili peguam, Cheow Wee Mai dan Foo Mei Jin.

Syarikat tersebut membayar denda berkenaan.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929