fbpx

Seronok beraya jangan sampai ‘terkorban’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PEJAM celik, hari ini kita mera­yakan Aidiladha untuk tahun kedua dengan norma baharu, tidak boleh balik kampung, tiada kunjung-mengunjung dan pelbagai lagi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Pematuhan SOP tersebut adalah sebahagian daripada pengorbanan yang perlu kita lakukan supaya benar-benar bebas daripada virus maut itu.

Tidak dinafikan ada yang degil dan licik mencipta pelbagai alasan bagi meloloskan diri pulang ke kampung untuk menyambut perayaan bersama keluarga.

Namun, tanpa sedar tindakan itu telah mencipta pelbagai kluster baharu dan menyebar luas lagi kadar jangkitan.

Ia menyebabkan pengorbanan selama dua tahun untuk kekal berada di rumah hanya sia-sia.

Masihkah kita ingat, Malaysia hampir menang dengan sifar kes jangkitan. Ketika itu, dunia ini dilihat kembali luas apabila pelbagai akti­viti sosial boleh dilakukan semula, balik kampung dan bercuti pun dibenarkan.

Tetapi, nikmat itu dirasai sementara sahaja ekoran sikap segelintir pihak dan rakyat yang melanggar SOP. Kini, kes jangkitan harian Covid-19 sudah me­lebihi 10,000 kes dalam tempoh beberapa hari berturut-turut.

Akibatnya, hospital sarat de­ngan jumlah pesakit Covid-19 yang ramai, barisan hadapan pula sudah keletihan berjuang dan ratusan kematian direkodkan setiap hari. Pelbagai lagi cerita menyedihkan mengenai pandemik itu kita dengar termasuk kisah anak kehilangan ibu bapa akibat virus tersebut.

Pun begitu, ia nampaknya belum cukup menginsafkan sebahagian masyarakat apabila terdapat cubaan warga kota untuk pulang ke kampung sempena Aidiladha.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, sebanyak 4,839 kenderaan yang cuba melepasi sekatan jalan raya telah di arah berpatah balik pada 16 Julai lalu.

Bimbang dengan tindakan melulu orang ramai untuk pulang ke kampung, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hi­sham Abdullah menyeru rakyat mengambil iktibar daripada kesilapan ketika sambutan perayaan lalu sehingga mencetus gelombang jangkitan yang sangat besar.

“Masyarakat diingatkan bahawa larangan rentas daerah dan negeri masih lagi berkuat kuasa. Begitu juga larangan kunjung-mengunjung bagi menyambut perayaan.

“Jangan pula dalam keseronokan menyambut Hari Raya Korban menyebabkan kita sama-sama ‘terkorban’ dek kerana Co­vid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Kebangsaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Kartini Aboo Talib @ Khalid berkata, mematuhi arahan untuk kekal berada di rumah memang sukar apabila rindu mencengkam, tetapi ia adalah cara terbaik untuk menyelamatkan nyawa kita dan orang tersayang.

“Banyak kisah masyarakat yang boleh diambil iktibar se­perti anak pulang ke kampung ‘membawa’ Covid-19 dan menjangkiti kedua-dua orang tua yang sedang uzur sehingga mereka meninggal dunia.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah cara terbaik untuk mengawal penularan dan begitu juga pematuhan SOP seperti memakai pelitup muka dan jarak fizikal,” katanya

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat supaya membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri, keluarga dan komuniti yang kita sayangi.

Bak kata pepatah, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI