fbpx

Memualkan! Yana Samsudin lapor aktiviti lucah pemain e-sport

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YANA SAMSUDIN tidak sanggup membiarkan perbuatan jijik seorang streamer berterusan dengan mengambil tindakan membuat laporan polis.

PETALING JAYA – Berasa jijik dengan perlakuan lucah terhadap seorang pemain e-sport atau ‘streamer’ yang melakukan gangguan seksual secara lisan terhadap kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun, pelakon Yana Samsudin  tampil membuat satu laporan polis.

Kata pelakon itu, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam, Selangor malam semalam semata-mata bagi memastikan perbuatan memualkan individu berkenaan dihentikan sekali gus tiada lagi kanak-kanak atau wanita menjadi mangsa.

“Saya mengajukan laporan polis selepas menonton sendiri rakaman video yang sudah diedit seseorang membabitkan seorang kanak-kanak perempuan. Perkara itu asalnya dimaklumkan oleh beberapa streamer lain.

“Perbualan individu dimaksudkan itu keterlaluan apabila bercakap perkara berbaur lucah dalam ‘live streaming’ kepada budak bawah umur walaupun kanak-kanak berkenaan kedengaran tidak selesa dan mahu perbuatan itu dihentikan.

“Selepas menonton beberapa rakaman video lain membabitkan streamer sama, saya berbincang dulu dengan suami serta mendapatkan pandangan peguam yang menasihatkan saya untuk membuat laporan atas kapasiti orang awam.

“Perkataan ‘double meaning’ yang digunakan terhadap kanak-kanak itu melampau dan menjijikkan sehingga mengundang kemarahan streamer lain, tetapi seseorang perlu bertindak supaya ia tidak berlanjutan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Katanya lagi, sebagai streamer wanita yang bergelar isteri dan ibu, perbuatan lelaki berusia 20-an itu memalukan streamer Malaysia yang sepatutnya mengikuti garis panduan dalam permainan atas talian selain menjaga adab.

“Streamer pun perlu jaga kelakuan dan adab ketika ‘live’. Ini sangat memalukan dan sebenarnya macam siaran langsung lain pun, kena tahu jaga batas atau tidak perlu berbuat begitu demi meraih pengikut.

“Saya juga terbabit dalam dunia ‘gaming’ sekali gus terkesan melihat ada yang berani mencarut dan berkomunikasi secara seksual terhadap kanak-kanak secara ‘live’ sedangkan dari segi undang-undang perbuatan itu boleh dikenakan tindakan tegas.

“Ini bukan lagi pasal etika malah secara terang-terangan streamer itu melakukan gangguan perbuatan jenayah dalam talian juga sama menakutkan dan diharap jadi pengajaran untuk streamer lain. Kita mahu komuniti yang sihat.

“Memang pemain dalam talian sekarang tumbuh bagai cendawan dan sesiapa pun boleh menjadi streamer, namun Facebook Gaming juga mempunyai garis panduan untuk diikuti. Kerana itu kita perlu ingatkan semua streamer Malaysia jangan langgar etika,” katanya lagi.

Terdahulu, pada tahun lalu bawah Egg Network, bintang filem Bini-Biniku Gangster itu dipertanggungjawabkan untuk menggalas amanah sebagai duta dalam menggalakkan lebih ramai wanita memasuki dunia ‘gaming’.

Yana menggunakan medium berkenaan bagi berkongsi pengalaman sebagai streamer wanita selain menyebarkan maklumat yang tepat berkenaan permainan dalam talian termasuk membincangkan topik keselamatan.

“Apabila isu gangguan seksual atau seumpamanya berlaku, secara tidak langsung membuatkan orang luar bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga mereka tambahan pula ramai kanak-kanak dan remaja turut berjinak-jinak dalam e-sukan ini.

“Kita kena wujudkan persekitaran sihat dan jangan sampai disebabkan segelintir individu, rosak kredibiliti streamer lain. Masing-masing sepatutnya sentiasa rasional dan bertanggungjawab atas sikap sendiri,” katanya yang turut bergelar pengarah.

Terdahulu, daripada tinjauan Kosmo! Online mendapati individu sama turut berhadapan satu lagi laporan polis yang dikemukakan seorang peguam membabitkan kes ugutan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI