fbpx

Jangan dikenang lagi Piala AFC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIDIL SHARIN (dua dari kanan) percaya dua pemain import baharu diharap dapat membantu KDA FC meraih keputusan positif pada saingan Piala AFC.

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KEKECEWAAN tidak dapat beraksi dalam Piala AFC tidak seharusnya menghantui pemikiran para pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) ketika mereka sedang berusaha untuk terus berada di kelompok teratas Liga Super dan hanya berada empat mata di belakang pendahulu, JDT.

Justeru kata ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, beliau mahu para pemain untuk tidak ‘meratapi’ kekecewaan itu dan perlu segera memberi fokus kepada saingan liga tempatan.

Katanya, semua pihak perlu percaya akan hikmah di sebalik pembatalan aksi melibatkan KDA FC dan Terengganu FC (TFC) dalam saingan peringkat Asia tersebut selain berusaha menunaikan tanggungjawab sebaik mungkin demi kebanggaan penyokong setia.

“Di peringkat Piala AFC, kita mungkin sudah ‘selesai’ tetapi masih banyak tugas perlu dilaksanakan dalam liga tempatan, setidak-tidaknya menyamai pencapaian berada di kedudukan kedua Liga Super seperti tahun lalu.

“Kami perlu lupakan segera kekecewaan ini dan segera bergerak ke depan. Dalam masa sama, saya memuji barisan pemain dan pengurusan yang sebelum ini bersungguh-sungguh membuat persiapan untuk menghadapi Piala AFC,” katanya kepada pemberita di Alor Setar semalam.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengesahkan penyertaan beberapa kumpulan dalam saingan Piala AFC yang turut melibatkan dua wakil negara, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu City FC terpaksa dibatalkan kesan daripada pandemik COVID-19.

AFC dalam satu kenyataan memaklumkan, pembatalan itu terpaksa dibuat berikutan cabaran dihadapi untuk mencari hos sesuai yang dapat menganjurkan perlawanan bagi kumpulan G, H dan I secara berpusat.

Sementara itu, Ketua Pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar berkata, beliau bersama rakan-rakannya kini sudah bersedia untuk mula mengalihkan tumpuan kepada aksi saingan tempatan, selepas ini.

“Kalau bercakap mengenai soal persiapan untuk ke Piala AFC, saya rasa pasukan telah melakukan yang terbaik. Sejak awal musim kita telah mendapatkan pemain-pemain berkualiti dan sepanjang tempoh menjalani latihan, masing-masing berusaha bersungguh-sungguh melakukan persediaan.

“Bagi saya kita sudah buat 100 peratus, namun tiada rezeki untuk beraksi di pentas Asia. Insya Allah, pasukan ini akan berusaha mencari kedudukan terbaik dalam liga musim ini supaya tahun depan, kita sekali lagi berpeluang beraksi di pentas Asia,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI