fbpx

KTMB berharap projek KDVT 2 diteruskan segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - Foto: IHSAN KTMB

PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berharap agar projek Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) diteruskan segera bagi memastikan perkhidmatan kereta api penumpang dan kargo berjalan lancar.

Ketua Pegawai Teknikal KTMB, Ir. Ahmad Nizam Mohamed Amin berkata, penangguhan projek itu telah menyebabkan perkhidmatan penumpang dan kargo telah banyak terjejas.

“Sejak bermulanya projek KVDT 1 dan KVDT 2, operasi tren di beberapa jajaran adalah terhad kepada landasan tunggal mengakibatkan kekerapan tren terpaksa dikurangkan serta tempoh perjalanan meningkat.

“Akibatnya, jumlah penumpang KTM Komuter telah menunjukkan angka penurunan yang ketara iaitu dari 136,375 orang pada tahun 2015 kepada 65,627 orang pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Nizam berkata, meskipun KVDT 2 masih dalam proses penyediaan tender baharu oleh Kementerian Pengangkutan, namun pihaknya memberi jaminan bahawa laluan sepanjang projek itu selamat serta boleh digunakan untuk operasi tren penumpang dan barang.

Ini kerana katanya, laluan meliputi kawasan dari Salak Selatan ke Seremban dan dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang sepanjang 265 kilometer sentiasa diselenggara oleh pasukan peronda landasan.

“Walaupun projek ini dihentikan buat sementara waktu, KTMB tidak akan menggunakannya sebagai alasan untuk tidak mengambil tindakan bagi memastikan landasan berada dalam keadaan baik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penumpang,” ujarnya.

Untuk makluman, KVDT2 merupakan projek yang dibangunkan oleh Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn. Bhd. (DMIA) yang merupakan sebuah syarikat bumiputera bersama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah membentuk syarikat usaha sama, Dhaya Maju LTAT Sdn. Bhd.

Antara skop kerja KVDT2 adalah menggantikan landasan kereta api berusia lebih 27 tahun itu dengan landasan baharu, menaik taraf dan menyelenggara sistem elektrik, komunikasi dan menambah baik stesen kereta api terbabit. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI