fbpx

Khairuddin gagal rujuk 4 persoalan undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUDDIN

KUALA LUMPUR – Bekas Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal merujuk
empat persoalan undang-undang berhubung Proklamasi Darurat ke Mahkamah Persekutuan.

Permohonan itu dikemukakan di Mahkamah Tinggi untuk merujuk persoalan berhubung keabsahan tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi mengekang penularan Covid-19, awal tahun ini.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin ketika menolak permohonan tersebut tanpa kos kemudian menetapkan 24 Ogos ini bagi mendengar permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Khairuddin selaku plaintif.

Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili plaintif dan Peguam-Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S. Narkunavathy yang mewakili Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan-defendan.

Muhammad Rafique berhujah, keempat-empat persoalan itu adalah kabur dan perlu dirujuk dan diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara.

Beliau berhujah, ini kerana persoalan undang-undang itu merupakan kali pertama dibangkitkan dan tiada keputusan duluan (precedent) pernah diumumkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Hujahnya, isu yang menjadi tunjang kepada pertikaian dalam saman pemula itu adalah berkaitan keabsahan nasihat defendan pertama kepada Yang di-Pertuan Agong yang mana ketika itu beliau telah hilang kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat untuk kekal sebagai Perdana Menteri.

Hujah beliau, persoalan bahawa seorang Perdana Menteri yang telah hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, menasihati Seri Paduka bagi satu Proklamasi Darurat, belum pernah dibangitkan dalam sejarah negara (unprecedented).

Muhammad Rafique berhujah, penentuan keperlembagaan di Mahkamah Persekutuan akan membawa kepada penyelesaian muktamad dengan cepat bagi melupuskan saman pemula sebelum Proklamasi Darurat tamat selewat-
lewatnya 1 Ogos ini.

Hujah beliau, permohonan rujukan ke Mahkamah Persekutuan jika tidak dibenarkan akan memprejudiskan hak plaintif untuk mendapat tafsiran perlembagaan kerana isu akan akan menjadi akademik jika Proklamasi Darurat ditamatkan sebelum 1 Ogos. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI