SEBERANG PERAI – Seorang jurujual bahan binaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini, hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh bekas teman wanitanya dan seorang lelaki dalam kejadian di Juru, minggu lalu.
Tertuduh, Vincent Lim Jia Leong, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Berdasarkan pertuduhan, Vincent didakwa melanggar seorang wanita dan lelaki masing-masing berusia 41 dan 44 tahun menggunakan sebuah kenderaan jenis BMW yang mana perbuatan tersebut dilakukan dengan pengetahuan bahawa ia adalah mungkin menyebabkan kematian.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan lorong perusahaan Maju 8, Autocity, pukul 9.45 malam, 15 April lalu. Pelanggaran itu menyebabkan kedua- dua mangsa cedera di kaki dan siku.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 308 Kanun Keseksaan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam Parmjit Singh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa dan saksi pendakwaan. Kes akan disebut semula pada 4 Jun depan.
Motif kejadian dipercayai akibat perasaan cemburu kerana wanita tersebut sudah mempunyai kekasih baharu. -KOSMO! ONLINE














