KUALA LUMPUR – Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa terdapat kekerapan transaksi dengan jumlah besar dimasukkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membabitkan RM19.5 juta.
Penolong Pengurus Cawangan Bank Muamalat Malaysia Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam Norazeanti Miswan, 39, berkata kesemua wang-wang itu, dikeluarkan menerusi cek daripada Bank Muamalat milik sebuah syarikat pembinaan kepada Parti Pribumi Bersatu menerusi 29 transaksi.
Ia yang mana jumlah tertinggi kemasukan wang diterima parti itu ialah RM2 juta, manakala jumlah terendah membabitkan RM500,000 yang mana kekerapan transaksi itu berlaku antara 12 Mei 2021 hingga 16 November 2022.
Pendakwaan: Dalam konteks Puan, apa yang dimaksudkan dengan ‘kerap’ dan ‘besar’?Saksi: ‘Besar’ kerana jumlah pengeluaran cek yang diberikan berjumlah antara RM500,000 sehingga RM2 juta manakala ‘kekerapan’ berlaku kerana secara berterusan kepada penerima yang sama pada tahun 2021 sehingga penghujung 2022.
Pendakwaan: Sepanjang Puan menjadi pegawai bank adakah transaksi-transaksi ini satu transaksi yang biasa dibuat oleh sesebuah syarikat.
Saksi: Tidak, kerana saya tidak melihat transaksi sebegini dilakukan oleh syarikat lain.
Dalam pada itu, saksi pendakwaan kesembilan turut bersetuju dengan cadangan pendakwaan bahawa jumlah kemasukan jutaan ringgit itu merupakan suatu di luar kebiasaan.
Sementara itu, adakah pengeluaran cek bank tersebut ‘donation’ (sumbangan) sahaja atau perkataan ‘political donation’, saksi itu mengesahkan cek itu hanya tertulis ‘donation’ selain turut mengesahkan transaksi yang dilakukan hanya kepada parti Bersatu dan tidak kepada parti politik lain seperti UMNO, DAP dan Pas.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin dan Mahadi Jumaat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung lagi petang ini.
Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga buah syarikat serta seorang individu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah syarikat yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE














