fbpx
WALI Band menjanjikan seleksi lagu hits yang pastimng 'sing along' sepanjang konsert solo mereka pada 1 Mei nanti.

Tiket hampir ‘sold out’, bukti Wali Band relevan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Dijangka meniupkan energi luar biasa, gelombang Wali Band kembali melanda Kuala Lumpur apabila hampir 90 peratus tiket konsert mereka habis terjual, sekali gus mencerminkan keterujaan luar biasa peminat yang tidak sabar untuk menyaksikan persembahan mereka secara langsung.

Dengan sambutan yang begitu menggalakkan, Konsert Wali Kembali dijangka menjadi antara persembahan paling dinanti-nantikan, terutamanya selepas peminat tidak berpeluang menikmati sepenuhnya lagu-lagu hit Wali Band seperti Aku Bukan Bang Toyib, Tobat Maksiat, Yank, Cari Jodoh dan Baik-Baik Sayang dalam konsert RadjaWali awal tahun ini.

Konsert anjuran GIS Entertainment & Events bersama Infinity Love Creative Ventures berkenaan dijadualkan berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026.

Wakil penganjur, Mubarak Akhtar Mohd Aris, berkata sambutan luar biasa terhadap konsert Wali Band ini adalah sesuatu yang amat membanggakan dan di luar jangkaan.

“Kami amat berbesar hati melihat sokongan padu daripada peminat di Malaysia. Ini membuktikan bahawa muzik Wali Band masih relevan dan dekat di hati ramai.

“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Kami juga komited untuk memberikan pengalaman konsert yang lebih berkualiti, bukan sahaja dari segi produksi tetapi juga dari segi kepuasan penonton,” katanya.

BAND muzik asal Tangerang, Indonesia ini bakal menjayakan Konsert Wali Kembali di Stadium Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 1 Mei 2026 ini.

Wali Band yang dianggotai Faank (vokal), Apoy (gitar), Tomi (dram) dan Ovie (papan kekunci) turut mengakui tidak sabar untuk menjayakan konsert solo mereka di Kuala Lumpur.

“Respons dan energi luar biasa daripada peminat di Sabah ketika kami menjayakan konsert solo di Kota Kinabalu awal bulan ini benar-benar mengagumkan, seolah-olah kami beraksi di hadapan penonton di Indonesia.

“Kami berharap dapat menerima respons dan energi yang sama di Kuala Lumpur dan insya-Allah kami akan memberikan persembahan terbaik seperti yang kami tampilkan di Kota Kinabalu. 

“Apatah lagi, kali ini kami kembali dengan konsert solo. Ini merupakan satu penghormatan besar buat kami, dan kami hanya ingin menghiburkan para peminat serta menebus kekecewaan mereka dengan mempersembahkan lagu-lagu hit kami,” kata Faank.

Kali ini, Wali Band tampil lebih bersedia untuk menghadirkan pengalaman konsert yang lebih lengkap dan bertenaga menerusi rangkaian lagu popular yang mudah ‘sing along’, selain susunan muzik segar serta interaksi lebih dekat bersama peminat.

Peminat disarankan untuk hadir seawal pukul 4 petang bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas berikutan acara besar lain yang berlangsung di sekitar Bukit Jalil. Pelbagai aktiviti menarik turut disediakan di luar perkarangan stadium termasuk persembahan muzik oleh DJ bagi menghiburkan peminat yang hadir lebih awal.

Dengan baki tiket yang semakin terhad, orang ramai digesa untuk mendapatkan tiket segera bagi mengelakkan kekecewaan.

Tiket boleh dibeli menerusi pautan: www.ilassotickets.com. Layari media sosial rasmi @konsertwalikembali2026 di TikTok dan Instagram untuk maklumat terkini. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN