fbpx
MEMBAWA kesinambungan kisah sekumpulan remaja, Budak Tebing 2 kembali bersiaran bermula malam ini menerusi TV3.

Budak Tebing kembali, lebih banyak konflik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERNAH meraih tontonan lebih daripada 10 juta sepanjang 13 episod siaran tahun lalu, drama bersiri Budak Tebing kini tampil dengan musim kedua yang memaparkan lebih banyak konflik dan isu sosial.

Drama berkisar masalah sosial dalam kalangan remaja tersebut menyaksikan gandingan semula barisan pelakon utama Adam Lee (Arif), Aedy Ashraf (Tongki), Eyka Farhana (Ira), Bella Dowanna (Laura), Fariz Isqandar (Yoyol) dan Firdaus Ghufran (Talam).

KEMUNCULAN Syafie, Adam Lee, Aedy Ashraf dan Bella Dowanna sememangnya dinantikan peminat.

Menurut pengarah Feroz Kader, Budak Tebing musim kedua (BT2) merupakan kesinambungan musim terdahulu yang berkisarkan kehidupan Tongki, Arif dan Talam selepas gagal memasuki Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Feroz berkata, dia tidak menyangka mendapat sambutan hebat ketika disiarkan tahun lalu dan mengharapkan magis sama seperti musim lalu.

“Kami hanya bekerja sebaik mungkin dan tidak pernah menjangkakan akan menjadi fenomena sehingga ke tahap ini.

“Dalam musim kedua, kita akan dapat melihat perkembangan watak-watak menjadi lebih matang seperti lakonan Afendi, Fauzi Nawawi dan penampilan watak Pablo yang dijayakan oleh Pablo Amirul,” katanya.

FEROZ KADER (kiri sekali) berharap perkembangan karakter setiap watak dalam Budak Tebing kali ini akan dapat memberi impak terhadap penerimaan penonton.

Buka mata

Tambahnya, BT2 turut menampilkan barisan aktor hebat tanah air seperti Syafie Naswip (Paan), Zarina Zainuddin (Sabrina), Nelissa Nizam (Maria) dan Imran Aqil (Pijoy) yang sama-sama memegang watak penting.

Berkongsi mengenai keserasian antara semua pelakon utama, Feroz berkata, mereka benar-benar menjiwai watak masing-masing.

“Dalam musim pertama, mereka masih dalam proses mengenali dan menjiwai watak. Berbeza dengan musim baharu, mereka sudah mampu membawa setiap watak jauh lebih baik.

“Perkembangan karakter setiap daripada mereka juga lebih matang. Apabila semua sudah hebat, kerja saya sebagai pengarah pun jadi lebih mudah,” ujarnya.

Ditanya mengenai harapan, Feroz berharap BT2 mampu membuka mata penonton berhubung pelbagai isu seperti penderaan kanak-kanak, jenayah dan kekeluargaan.

PELAKON Pablo Amiro (kiri) turut membuat kemunculan membawa watak Pablo menerusi Budak Tebing 2.

Pelakon utamanya, Adam Lee, menyifatkan BT2 lebih banyak memaparkan dan menyingkap isu sosial serta konflik dalam setiap watak.

“Jujurnya, BT2 ini lain daripada yang lain. Kali ini, kami lebih banyak merungkai pelbagai persoalan dan konflik antara remaja itu sendiri dengan persekitaran dan masalah kekeluargaan.

“Sebenarnya BT2 menjadi cabaran terbesar buat kami sebagai pelakon kerana mahu memastikan naskhah ini dapat diterima seperti yang dimahukan penonton.

“Kami sudah lakukan yang terbaik dan semoga diterima semua,” katanya.

BT2 yang mengisi slot Lestary bermula 18 Jun (hari ini ) dan akan ditayangkan setiap hari Rabu hingga Sabtu pada pukul 9 malam.

Drama rantaian berkenaan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran menerusi TV3.

POPULAR