fbpx

MSM meterai perjanjian jual beli saham dengan FGVIF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Faktor lokasi MSM Perlis yang jauh dari pelabuhan, kos fasiliti tinggi dan kapasiti pengeluarannya yang kecil menyebabkan operasinya dihentikan sejak setahun lalu.

PETALING JAYA – FGV Holdings Bhd. melalui anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) telah memeterai perjanjian jual beli saham dengan FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF) berhubung pelupusan dan pemilikan 100 peratus kepentingan MSM Perlis Sdn. Bhd. (MSM Perlis) dengan nilai RM175 juta.

Perjanjian tersebut adalah lanjutan kepada lembaran terma yang ditandatangani antara MSM dan FGVIF pada 30 April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, pelupusan tersebut adalah untuk menghentikan operasi bukan strategik di MSM Perlis.

Ia juga adalah sebahagian daripada strategi rasionalisasi Kumpulan untuk menyelaras keuntungan dan mengembangkan kemampuan operasi.

“Pelupusan MSM Perlis adalah sebahagian daripada rangka kerja MSM untuk menjana pendapatan melalui aset bukan teras bagi memperkukuh dan meningkatkan prestasi kewa­ngan kami.

“Pendapatan luar biasa akan dapat direalisasikan sebagai sebahagian daripada cadangan pelupusan dengan anggaran keuntungan sebanyak RM91.6 juta.

“Ia juga adalah untuk me­ningkatkan tahap operasi kami terutama daripada segi kadar penggunaan (UF) dan pening­katan hasil di MSM Sugar Refi­nery (Johor) Sdn. Bhd. (MSM Johor),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Operasi penapisan gula telah dihentikan setahun lalu di MSM Perlis ekoran rasionalisasi kapasiti Kumpulan untuk menya­tukan pengeluaran di kilang baharu,­ MSM Johor.

Selain itu, lokasi MSM Perlis dari pelabuhan yang tidak me­nguntungkan, keupayaannya yang kecil dan kos fasiliti yang tinggi juga menyebabkan opera­si­nya menjadi tidak ekonomik.

MSM Perlis kini memiliki 11 bidang tanah pertanian dan perindustrian yang telah diperuntukkan untuk pembangunan FGV Chuping Agro Valley (FCAV) di Perlis oleh FGVIF.

Mengulas lanjut berhubung projek berkenaan, Pegawai Bertanggungjawab dan Pengarah Bahagian Sektor Logistik dan Perniagaan Sokongan Kumpulan FGV, Azman Ahmad berkata, projek tersebut terdiri daripada aktiviti perladangan tanaman kontan bersepadu bernilai tinggi­ seperti nanas MD2, ­mangga harumanis dan penternakan tenusu.

Menurut beliau, seluas 60 hektar telah diperuntukkan untuk program usahawan agro di bawah skim pertanian kontrak untuk projek Nanas MD2. Pengambilan usahawan agro pertama dijangka berlangsung pada bulan Julai akan datang.

“FGVIF telah memulakan kerja-kerja pembangunan tanah untuk ladang nanas MD2 seluas 1,200 hektar.

“Kami menyasarkan projek ini akan selesai menjelang tahun 2025,” ujarnya.

Sejak pemberhentian penanaman tebu pada tahun 2011, MSM Perlis telah mengurus tanah pertanian tersebut dengan tanaman getah, kelapa sawit dan mangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI