fbpx

Komplot rasuah pegawai, kakitangan bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Enam kakitangan bank termasuk penolong pengurus yang dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk proses reman.-Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Mereka yang disenarai hitam dan mempunyai hutang lapuk antara sasaran utama seorang pengurus dan lima lagi kakitangan bank untuk mendapatkan wang suapan bagi tujuan kelulusan pinjaman peribadi.

Mereka yang berusia 36 hingga 45 tahun itu telah aktif menjalankan perbuatan kotor itu sejak tahun 2018 hingga 2020 melibatkan 110 pinjaman peribadi bernilai RM18juta.

Kesemua suspek terdiri seorang penolong pengurus dan pegawai pemprosesan pembiayaan dan dua masing-masing memegang jawatan sebagai ketua unit pembiayaan dan kerani ditahan pukul 4.45 petang semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) Selangor.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati mereka telah bekerja lebih lima tahun di beberapa cawangan sebuah bank di sekitar Lembah Klang.

Katanya, mereka disyaki telah meluluskan permohonan daripada para pemohon yang sebenarnya tidak layak untuk membuat pinjaman.

“Pemohon-pemohon tersebut ada di antaranya telah disenarai hitam, mempunyai hutang lapuk atau melebihi 60 peratus pendapatan mereka serta dokumen sokongan tidak lengkap seperti
pengesahan jawatan sama ada bekerja atau tidak.

“Berdasarkan siasatan sebanyak 110 pinjaman bernilai RM18juta telah diluluskan mereka,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sumber turut menjelaskan kesemua suspek kemudiannya dipercayai telah meminta dan menerima wang suapan antara 15 hingga 35 peratus daripada keseluruhan transaksi pinjaman itu menerusi ejen perunding kewangan.

Jelas sumber, perbuatan tersebut dilakukan mereka di antara 2018 hingga 2020.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dalang utama dan suspek-suspek lain yang turut terlibat dalam sindiket terancang ini,” katanya.

Difahamkan, SPRM juga telah merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM69,000 dan beberapa jam tangan mewah serta telefon bimbit daripada suspek tersebut dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah lebih RM100,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim, ketika dihubungi, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, mereka kesemua direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dengan perintah reman dikeluarkan Majistret Raja Nor Adilla Raja Mahyaldin. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI