KUALA LUMPUR – Rakyat Singapura masih berhutang lebih RM30 juta dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ekoran kedegilan mereka untuk melunaskan 108,798 saman tertunggak yang dilakukan sejak 2016 hingga Mac lalu.
Timbalan Pengarah I (Penguatkuasaan, Kawalan Lalu lintas, Pengurusan Saman), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Mohd. Nadzri Hussain berkata, antara kesalahan tertinggi dilakukan ialah memandu melebihi had laju.
Katanya, untuk kesalahan itu, sebanyak 7,371 saman atau bersamaan 5.1 peratus daripada keseluruhan 143,415 saman yang dikeluarkan meliputi pelbagai kesalahan lain.
“Ia diikuti memotong barisan (3,950), abai isyarat lalu lintas (1,309), tidak memakai tali pinggang keledar (1,309) dan tidak mematuhi lampu isyarat (761). Setakat ini, hanya 34,617 atau 24.1 peratus sahaja yang sudah dilunaskan.
“Selain itu, pemandu Singapura juga melakukan kesalahan seperti nombor pendaftaran fancy, kemalangan, halangan lalu lintas dan lampu brek,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Tambahnya, PDRM mempunyai kuasa untuk menahan rakyat Singapura yang mempunyai sama Pol. 170A dan menukarkan status saman berkenaan kepada notis saman Pol. 257 dengan menetapkan tarikh perbicaraan terhadap pesalah.
“Beza dua saman itu ialah Pol. 170A dikeluarkan secara tidak bersemuka seperti meletak kenderaan, manakala Pol. 257 ialah saman bersemuka seperti kesalahan lesen memandu, lampu isyarat dan kemalangan,” katanya.
Menurut Mohd. Nadzri, rakyat Singapura yang mempunyai saman tertunggak boleh dihalang keluar dari negara ini. Sekiranya gagal hadir di mahkamah, mereka akan dikenakan waran tangkap.
“Antara kekangan yang kita hadapi untuk menjejaki pesalah trafik itu ialah ketiadaan maklumat (alamat). Kita tidak dapat akses kerana perbezaan undang-undang,” katanya.
Ujar Mohd. Nadzri, ketiadaan alamat bermakna saman Pol. 170A tidak dapat diposkan kepada mereka.
Selain itu, katanya, Singapura melupuskan kenderaan yang melebihi lima tahun dan ia antara sebab mengapa mereka culas membayar saman.
“Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan tidak membayar saman kerana ia boleh dilakukan secara online di https://mybayar.rmp.gov.my. Kita juga telah melancarkan aplikasi MyBayar Saman pada 25 Mac lalu untuk telefon pintar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Nazri mengalu-alukan pelaksanaan pendaftaran kenderaan warganegara Singapura oleh Jabatan Pengangkutan Jalan melalui Sistem Kutipan Caj Jalan dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing yang berkuat kuasa di pintu masuk sempadan negara tidak lama lagi.
“Berdasarkan sistem ini, PDRM akan mendapatkan maklumat pesalah trafik bagi membolehkan notis saman Pol. 170A dapat disampaikan kepada mereka.
Katanya lagi, Polis Kontinjen Johor juga sentiasa melakukan Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing sebagai usaha memburu mereka yang degil.















