fbpx
Noor Hisham

Kes sporadik terus meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 dan kes kematian terutamanya selepas 1 April (Minggu Epidemiologi (ME) ke-13] adalah amat membimbangkan berikutan majoriti kes tersebut merupakan kes sporadik ketika ia dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan analisis yang dijalankan, sebanyak 52 peratus daripada 8,968 kes baharu Covid-19 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-13 sehingga 3 April lalu adalah kes sporadik.

Menurutnya, jumlah kes baharu Covid-19 pada ME ke-19 pula melaporkan sebanyak 29,386 kes dengan 77.7 peratus adalah kes sporadik.

“Negara kemudiannya merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes dengan 85.1 peratus adalah merupakan kes sporadik.

“Trend kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun), dengan jumlah kes baharu sebanyak 52,040 kes iaitu 84.3 peratus adalah kes sporadik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi kumulatif kes kematian Covid-19 pula, ia didapati semakin meningkat dari minggu ke minggu.

“Kes kematian Covid-19 pada ME ke-13 (sehingga 3 April) sebanyak 35 kes dengan 26 kes sporadik, manakala pada ME ke-19 sebanyak 209 kes dengan 187 kes sporadik.

“Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian dengan 559 kes sporadik,” ujarnya.

Beliau berkata, salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian lebih tinggi, selain penularan secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding ME yang sebelum.

Katanya, justeru, KKM menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi tersebut iaitu penularan Covid-19 adalah dalam komuniti termasuk tempat beli belah, tempat kerja dan sebagainya.

“Kes sporadik bermakna kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.

“Masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti tidak kira di mana mereka berada. Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Hisham turut mengingatkan, KKM menyeru masyarakat untuk terus mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“KKM menyeru semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara.

“Tanggungjawab kini di atas bahu kita semua untuk menjaga diri, keluarga, masyarakat dan negara kita,” tegasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN