fbpx

17 kluster di Kelantan tercetus akibat ziarah raya, solat jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KOTA BHARU – Sebanyak 17 kluster baharu Covid-19 yang direkodkan di Kelantan ketika ini tercetus akibat aktiviti ziarah raya dan solat jemaah di surau.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir individu yang sering ‘gelewak’ atau keluar rumah tanpa sebarang tujuan turut menjadi penyumbang kepada pertambahan jangkitan di Kelantan.

Menurutnya, peningkatan itu juga disebabkan oleh kegagalan orang ramai dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan ketika ini.

“Terbaharu, kita mengesan ada segelintir penduduk menunaikan solat jemaah di surau dekat Kampung Chetok, Pasir Mas sehingga menyebabkan seramai 37 orang dijangkiti Covid-19.

“Jika rakyat terus ingkar kepada SOP, saya tidak menolak kemungkinan kes di Kelantan boleh terus meningkat melebihi 1,000 kes sehari pada Jun ini memandangkan kes sudah berada dalam komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, menurut Izani, kadar kematian melibatkan kes Covid-19 di Kelantan menunjukkan peningkatan secara mendadak ketika ini.

Katanya, sebanyak 37 kematian akibat Covid-19 direkodkan pada April lalu dan angka korban jangkitan itu meningkat kepada 117 pada bulan ini.

“Sehingga hari ini, sebanyak 17 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) sudah dibuka. Pusat kuarantin juga dijangka bertambah dengan peningkatan kes semasa,” katanya.

Berdasarkan rekod, Kelantan mencatatkan sebanyak 695 kes hari ini iaitu kedua tertinggi selepas Selangor dengan 2,111 kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI