fbpx
Kejadian sebuah kereta merempuh motosikal di persimpangan lampu isyarat di Jalan Genting Klang, semalam.

Rempuh motosikal, pemandu BMW positif alkohol kena denda RM13,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang wanita didenda RM13,000 oleh Mahkamah Trafik Kuala Lumpur selepas didapati memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata berkata, kejadian yang tular di media sosial itu melibatkan sebuah kereta jenis BMW X1 dan sebuah motosikal Yamaha LC135 berlaku kira-kira pukul 8.22 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu wanita tempatan berusia 42 tahun itu gagal berhenti ketika lampu isyarat merah sebelum melanggar motosikal yang bergerak lurus dengan lampu hijau.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal berusia 22 tahun mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak di lutut kanan, manakala pembonceng berusia 15 tahun serta pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, ujian alkohol ke atas pemandu kereta mendapati bacaan sebanyak 183 miligram/100 mililiter direkodkan.

Susulan itu, wanita berkenaan dituduh di mahkamah pada hari ini di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mengaku bersalah.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara satu hari, denda RM13,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun,” ujarnya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 42(1) akta sama.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee ditian di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN