fbpx

Pelajar dikhuatiri lemas selepas selamatkan adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mencari mangsa lemas di Sungai Perak dekat Kampung Tebing Rebak di Hutan Melintang, semalam.-IHSAN JBPM

BAGAN DATUK – Seorang pelajar lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras Sungai Perak di Kampung Tebing Rebak, Hutan Melintang di sini semalam.

Lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan hanyut semasa menyelamatkan adiknya yang hampir lemas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian pada pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa bersama rakan-rakan dan adik lelakinya mandi di sungai berkenaan.

Katanya, adik mangsa berusia 15 tahun itu kemudiannya dihanyutkan arus dan mangsa cuba menyelamatkan dengan menolak remaja terbabit ke permukaan sungai.

“Sebuah bot penduduk kampung yang kebetulan lalu di situ telah membantu remaja tersebut namun mangsa telah tenggelam dihanyutkan arus deras.

“Usaha mencari dan menyelamat mangsa digerakkan bermula pukul 6 petang semalam dan disambung lagi hari ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.45 petang, semalam.

Katanya, operasi pencarian yang disambung hari ini diperluaskan merangkumi jarak pencarian sejauh tujuh kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

“Seramai 12 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) terlibat dalam operasi yang turut disertai pasukan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI