fbpx

Polis siasat kemalangan tular di UKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman kamera papan pemuka memaparkan tindakan sebuah kereta cuba melakukan pusingan U di Jalan UKM Bangi semalam.

KAJANG – Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung satu kemalangan tular yang terjadi apabila sebuah kereta dirempuh ketika sedang membuat pusingan U di Jalan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, laporan diterima kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari yang sama daripada kedua-dua individu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.45 pagi apabila seorang wanita yang memandu kereta jenis Proton Saga ingin membuat pusingan U di Jalan UKM Bangi namun telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang juga dipandu oleh seorang wanita dari arah belakang.

“Pelanggaran tersebut telah mengakibatkan Proton Saga berkenaan terlajak ke hadapan lalu melanggar tiang lampu dan pembahagi jalan serta mengalami kerosakan pada bahagian depan juga belakang kereta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaid, kejadian berkenaan bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada kedua-kedua wanita yang terlibat dan pihaknya akan menjalankan siasatan susulan laporan yang telah diterima.

“Kes disiasat mengikut Rule 13 LN 166/59,” ujar beliau.

Terdahulu, Kosmo! Online hari ini melaporkan tentang satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang tular di laman media sosial Facebook sejak semalam.

Menerusi satu rakaman kamera papan pemuka berdurasi 29 saat yang tular, pelanggaran berlaku apabila sebuah kereta dipandu seorang wanita melakukan pusingan U ketika sedang berada di lorong paling kiri.

Kereta berkenaan bagaimanapun telah dilanggar oleh sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang datang dari arah belakang melalui lorong paling kanan.

Perkongsian video itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada netizen yang meluahkan perasaan marah terhadap wanita berkenaan yang disifatkan membuat pusingan U secara tiba-tiba tanpa melihat keadaan sekeliling dan membahayakan pengguna jalan raya lain. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI