fbpx
AIDIL berharap anak-anak buahnya mampu menggalas tugas untuk meraih kemenangan.

Helang Merah sedia beri saingan pada Piala AFC 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak berharap pasukannya bebas daripada kecederaan agar dapat memberi saingan pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 bermula 29 Jun depan.

Pengendali import dari Singapura itu percaya pasukannya mempunyai tempoh masa mencukupi untuk mempersiapkan diri bagi aksi peringkat kumpulan Piala AFC menyaksikan Kedah berada dalam kumpulan H bersama Lion City Sailors FC, Saigon FC dan Persipura Jayapura.

Namun, Aidil khuatir sekiranya dalam tempoh ini berlaku sekali lagi sebarang kecederaan yang tidak diingini apabila Kedah pernah hilang beberapa tonggak utama pada awal musim dengan ketiadaan Syazwan Tajudin, Renan Alves dan juga Ariff Farhan Md Isa.

Kini, skuad Kedah telah lengkap dengan kembalinya pemain-pemain tersebut kecuali Syazwan yang masih lagi dalam fasa pemulihan ekoran kecederaan ACL dan percaya pasukan di landasan terbaik selepas beraksi dengan konsisten dalam 13 perlawanan Liga Super setakat ini.

“Kita akan kembali berlatih pada Jumaat ini dan kita akan perbaiki semua kelemahan yang ada di mana kita akan menggandakan sesi latihan bagi kekalkan tahap kecergasan fizikal pemain.

“Saya rasa sekarang kami tiada­ masalah daripada segi prestasi selepas menilai 13 perlawanan apabila kita hanya tewas dua kali, cuma yang penting adalah konsistensi pemain-pemain di mana hanya Syazwan sahaja yang tiada bersama kita kerana ACL.

“Sekarang saya akan me­rancang beberapa aksi persahabatan yang kita boleh lakukan dan semuanya akan kita pantau juga dengan situasi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ketika ini,” katanya dalam satu kenya­taan semalam.

Saingan Liga Malaysia ketika ini sedang berehat sehingga 9 Julai bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebelum Kedah dan Terengganu FC pula berentap untuk saingan Piala AFC bermula 29 Jun sehingga 6 Julai depan.