BENARLAH kata orang, kalau sudah jodoh tidak akan ke mana kerana tepat pada masanya dua jiwa akan disatukan walaupun terpisah oleh jarak dan jurang usia yang sangat jauh.
Demikian terjadi kepada Amir (bukan nama sebenar) yang mana dia dipertemukan semula dengan bekas gurunya selepas hampir 10 tahun terpisah.
Pemuda berusia 30 tahun itu tidak menyangka guru kelas ketika dia di tingkatan tiga itu kini menjadi isterinya.
“Saya suka melihat sikapnya yang lemah lembut serta keibuan ketika mengajar sehingga menerbitkan bibit-bibit cinta dalam dirinya tetapi tidak berani meluah perasaan kerana sedar diri ini sebagai pelajar dan dia pula seorang cikgu.
“Ketika di tingkatan empat, keluarga saya dari Terengganu berpindah ke Kuala Lumpur kerana ayah ditukarkan ke sana dan sejak itu tidak pernah mendengar perkhabarannya lagi,” ceritanya memulakan bicara kepada Panorama.
Tambahnya, selepas sekian lama, dia telah melupakan perasaan tersebut lalu meneruskan kehidupan seperti biasa serta dipertemukan dengan cinta-cinta baharu tetapi kecundang.
Sehinggalah suatu hari ada wanita yang menghubunginya menerusi WhatsApp untuk membeli produk jualannya.

Seperti biasa, Amir akan melayan pelanggannya dengan bertanya lebih lanjut seperti kuantiti dan alamat penghantaran.
“Selepas perbualan yang agak panjang, terdetik hati saya untuk membuka gambar profil dan ketika itu menderu darah kerana rupa-rupanya dia adalah guru ketika di tingkatan tiga.
“Dia juga tidak perasan yang saya bekas pelajarnya kerana wajah sedikit berbeza apatah lagi mempunyai misai dan jambang,” tutur Amir menceritakan kembali pertemuan semula dirinya dan isteri lima tahun lalu.
Saban hari, hubungan Amir dan bekas gurunya itu semakin rapat sehingga pemuda tersebut sering dijemput ke rumah wanita itu setiap kali ada majlis kesyukuran atau apa jua acara.
Hubungan yang semakin akrab itu menerbitkan kembali bibit cinta lama dan Amir memberanikan diri meluahkan perasaannya.
Ternyata Amir tidak bertepuk sebelah tangan kerana wanita itu yang merupakan janda anak satu juga menyimpan perasaan sama.
“Walaupun ketika itu usia masih muda tetapi saya merasakan sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga dan tidak mahu kehilangan wanita yang dicintai untuk kali kedua. Hasrat tersebut disuarakan kepada ibu bapa.
Pada awalnya mereka menentang kerana jurang usia kami 10 tahun tetapi akhirnya akur,” ujar anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Walaupun pelbagai dugaan dilalui, mereka kini bahagia melayari rumah tangga dan dikurniakan dua orang cahaya mata.














