fbpx

Isu lawak rogol: Guru terlibat telah dipindahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video dirakam pelajar tersebut yang dimuat naik ke laman Twitter baru-baru ini.

PETALING JAYA – Guru yang didakwa membuat lawak rogol sehingga membangkitkan kemarahan banyak pihak baru-baru ini telah ditempatkan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan berhubung perkara itu selesai.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan berkata, mereka mengambil maklum bahawa laporan polis telah dibuat oleh murid berusia 17 tahun yang membuat dakwaan tersebut pada 24 April lalu dan tiada sebarang kenyataan dikeluarkan sehingga siasatan selesai.

“Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan.

“Ketika ini KPM menempatkan guru berkenaan di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sehingga siasatan tersebut selesai dan tindakan KPM seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes ini,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihak KPM juga telah meneliti secara terperinci perkara tular mengenai komen yang dikatakan dibuat oleh pengetua sekolah terlibat menerusi aplikasi Facebook.

“KPM mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan bahawa beliau telah memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam.

Mengulas lanjut, KPM turut menjelaskan perkara berkaitan Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama yang diterima murid perempuan berkenaan yang pemantauannya dilaksanakan melalui SIstem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau sepuluh hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah dan guru, sistem ini akan menjana pemberitahuan berkenaan yang kemudiannya akan diposkan kepada ibu bapa atau penjaga murid terlibat.

“Bagi tempoh 16 hingga 30 April lalu, sekolah berkenaan telah mengeluarkan sebanyak enam pucuk surat pemberitahuan berkenaan kepada ibu bapa dan penjaga yang anak mereka tidak hadir ke sekolah tanpa sebab,” jelasnya.

Terdahulu, satu pendedahan yang dibuat oleh seorang murid perempuan di sebuah sekolah tentang seorang guru yang menggunakan jenayah rogol sebagai bahan jenaka di dalam kelas membangkitkan kemarahan orang ramai. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI