fbpx
Ben Ooi ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Anjuran Bersama KUSKOP dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Seberang Perai, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/KOSMO!

Mualaf teruja pertama kali sambut ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Sebuah pertubuhan mualaf di Pulau Pinang melahirkan rasa kesyukuran apabila berpeluang melaksanakan ibadah korban buat pertama kali pada tahun ini, sekali gus memberi pengalaman baharu buat mereka.

Penaung Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Pulau Pinang, Ben Ooi berkata, pihaknya berbesar hati setelah menerima sumbangan seekor lembu dari Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), hari ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut memberi makna mendalam buat organisasi berkenaan yang baru didaftarkan pada November tahun lalu.

“Alhamdulillah, dengan izin-Nya kami mendapat rezeki apabila menerima sumbangan seekor lembu untuk ibadah korban tahun ini.

“Memang tidak sangka sebab ini kali pertama kami dapat melaksanakan ibadah korban dan membuat agihan kepada kira-kira 26 mualaf serta asnaf di bahagian pulau dan Butterworth,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Anjuran Bersama KUSKOP dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam di Bandar Perda di sini, hari ini.

Jelasnya Ben lagi, penerima sumbangan daging korban terdiri daripada mualaf yang baru memeluk Islam pada awal tahun ini selain ada yang sudah memeluk Islam sejak dua hingga lima tahun lalu.

“Ada yang pertama kali merasai suasana sambutan ibadah korban sebagai seorang muslim, jadi memang mereka sangat teruja dan bersyukur,” katanya yang sudah memeluk Islam sejak 2017.

Tambahnya, proses penyembelihan akan dilakukan oleh individu yang dilantik dan berpengalaman bagi memastikan ibadah korban dilaksanakan dengan sempurna.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong
iaitu Rosly Yusof pula memberitahu, jumlah sumbangan lembu korban mencatat peningkatan ketara berbanding sasaran awal penganjur iaitu sebanyak 20 ekor.

Jelasnya, komitmen tinggi daripada tujuh agensi di bawah KUSKOP pada saat akhir membolehkan hampir 40 ekor lembu berjaya dikumpulkan untuk diagihkan kepada penerima yang layak.

Katanya, sebanyak 27 pihak pengurusan masjid, surau dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dikenal pasti sebagai penerima manfaat tahun ini.

“Sumbangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan ibadah korban, malah menjadi simbol kebersamaan, semangat gotong-royong dan jalinan keprihatinan antara agensi kerajaan, koperasi serta komuniti.

“YB Steven Sim turut berpesan agar ibadah korban dijadikan wadah untuk memperkukuh nilai pengorbanan, keikhlasan dan kesyukuran demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN