fbpx

Hasut: Abdul Hadi berjaya batal saman pemula 2 penganut Kristian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berjaya membatalkan saman pemula dua penganut Kristian dari Sabah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung kenyataan yang didakwa menghasut penganut agama berkenaan yang diterbitkan dalam sebuah akhbar lima tahun lalu.

Hakim Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Abdul Hadi selaku defendan untuk membatalkan saman pemula tersebut.

Dalam keputusannya, hakim Akhtar mengatakan dua lelaki Sabah iaitu Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian yang merupakan plaintif tidak mengemukakan salinan asal artikel yang dikatakan dari dakwaan Abdul Hadi yang disiarkan dalam akhbar Pas, Harakah.

“Dalam kes ini, salinan pernyataan di Harakah tidak dikemukakan di hadapan mahkamah. Pengeluaran semula artikel itu dalam bahasa Inggeris, tidak jelas sama ada artikel Harakah yang asli dalam bahasa Inggeris atau bahasa lain,” katanya.

Hakim itu menambah bahawa tidak ada unsur-unsur kepentingan umum dalam saman itu kerana asas persoalannya melibatkan pernyataan yang dibuat lima tahun lalu.

“Mereka telah membangkitkan semula perkara yang ada pada tahun 2016 dan menjadikannya isu yang baru. Bagaimana ia boleh menjadi kepentingan umum lima tahun kemudian,” kata hakim.

Akhtar juga dalam penghakimannya turut mengatakan bahawa tidak ada apa-apa dalam kenyataan yang dikatakan oleh defendan (Abdul Hadi) yang merujuk kepada plaintif.

Sebaliknya, ia merujuk kepada mubaligh Kristian dan plaintif tidak mewakili diri mereka sebagai mubaligh Kristian.

“Mengenai hal ini, mahkamah memutuskan bahawa pihak plaintif jelas tidak memiliki locus standi. Justeru setiap plaintif perlu kos punitif sebanyak RM50,000 kepada defendan,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, Abdul Hadi diwakili peguam Yusfarizal Yussoff manakala dua penganut Kristian diwakili peguam R. Kenghadaran.

Sementara itu, Kenghadaran ketika ditemui selepas prosiding berkata beliau akan menunggu arahan seterusnya sama ada untuk membuat rayuan atau tidak berhubung keputusan mahkamah itu hari ini.

Pada 9 Disember tahun lalu, kedua-dua plaintif memfailkan saman pemula terhadap Abdul Hadi antara lain memohon pengisytiharan bahawa Abdul Hadi telah melakukan tindakan hasutan yang bertentangan dengan Seksyen 3 Akta Hasutan 1948 dan pengisytiharan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaaan Malaysia termasuk suatu jawatan yang setara dengan jawatan menteri.

Saman itu difailkan atas alasan Abdul Hadi mengeluarkan satu penyataan menghasut penganut atau mubaligh Kristian yang telah diterbitkan dalam sebuah akhbar pada 18 Januari 2016 dan kemudian dilaporkan oleh sebuah portal pada hari sama. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI