fbpx

Terima suapan, bekas eksekutif kanan telco mengaku tak bersalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Hafiz ketika hadir mahkamah atas empat pertuduhan rasuah bernilai RM45,760.05 . -Foto ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Seorang bekas eksekutif kanan syarikat telekomunikasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan RM45,760.05 bagi kerja pembekalan dan penyelenggaraan telekomunikasi di antara 2016 hingga 2018.

Tertuduh, Mohamad Hafiz Azmi, 35, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.

Mengikut kesemua pertuduhan, bapa kepada seorang anak itu menerima suapan daripada dua pemilik syarikat masing-masing berusia 41 dan 48 tahun dalam bentuk deposit cek tunai melalui syarikat Nusa Perintis Enterprise milik tertuduh.

Rasuah itu sebagai dorongan kepada Mohamad Hafiz yang juga pakar produk telekomunikasi mendapatkan kerja-kerja pembekalan dan penyelenggaran yang dikeluarkan oleh majikan tertuduh ketika itu bernilai keseluruhan RM1.28juta.

Keempat-empat perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di pusat perniagaan Glenmarie, Shah Alam di antara 2016 hingga 2018.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM25,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan 16 Jun depan.

Kosmo! 18 Ogos tahun lalu melaporkan seorang bekas eksekutif kanan syarikat telekomunikasi direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes menerima suapan hampir RM16,000 pada tahun 2018 hingga 2019. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI