SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan hampir RM150 juta kutipan zakat sepanjang Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, ini merangkumi sebanyak RM117 juta bagi zakat harta manakala RM31 juta pula adalah zakat fitrah.
Katanya, pihaknya akan terus memperkasakan penggunaan bayaran zakat secara dalam talian apabila rekod menunjukkan sebanyak RM18 juta diperolehi menerusi zakat fitrah sahaja tahun lalu.
“Apabila berlaku pandemik ini, kesediaan orang ramai untuk membantu adalah tinggi. Ini dibuktikan apabila memperoleh kutipan zakat tahun lalu sebanyak RM913 juta melepasi jangkaan kutipan yang disasarkan sebanyak RM850 juta.
“Kesemua kutipan zakat secara langsung akan membantu fakir miskin termasuk asnaf yang akan menjangkau seramai 70,000 orang pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar dan Penyerahan Zakat Perniagaan, malam tadi.
Penyerahan zakat itu melibatkan 24 buah syarikat dengan jumlah keseluruhan RM7.7 juta yang diterima Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof
Ketika ditanya mengenai langkah yang akan dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah daerah di Selangor bermula 6 hingga 17 Mei depan, Saipolyazan berkata, pihaknya telah mempunyai strategi tersendiri hasil pengalaman daripada PKP tahun lalu.
“Kita akan dapatkan butiran lengkap daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan perbincangan akan dilakukan dengan cawangan LZS dalam mempermudahkan pembayaran zakat dan penerimaan oleh asnaf kita,” katanya.
Mengulas mengenai aplikasi Zakat Selangor yang turut dilancarkan pada majlis tersebut, beliau menjelaskan sambutan diterima daripada masyarakat amat mengalakkan dengan lebih 500 pengguna telah memuat turun aplikasi tersebut.
“Kita telah berjaya mengutip bayaran zakat fitrah dan harta sehingga RM60,000 untuk hari kedua dan ketiga sejak diperkenalkan minggu lalu,” jelasnya. -K! ONLINE