fbpx
Gambar hiasan

Penyelewengan dana NGO RM230 juta tidak babit sumber zakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Siasatan terkini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penyelewengan dana berjumlah RM230 juta melibatkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan tidak membabitkan sumber dana mana-mana institusi zakat di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam siasatan terkini, dana diperoleh NGO terbabit daripada pelbagai pihak dan sumber tidak sampai ke individu sepatutnya.

“NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Bagaimanapun, dana itu tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka tidak bertanggungjawab menyeleweng dana untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya hari ini.

Tambah beliau, siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang memperluas skop siasatan.

“SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam setiap proses semakan dan siasatan dijalankan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus baik,” katanya.

Terdahulu, SPRM menahan reman dua individu termasuk seorang timbalan presiden sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana tempatnya bekerja berjumlah kira-kira RM230 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 25 April depan terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an itu telah ditahan berasingan antara pukul 3 dan 5 petang semalam dalam satu operasi yang dijalankan SPRM Selangor sekitar Lembah Klang.

Dalam operasi tersebut, SPRM turut menyita 18 unit kenderaan mewah antaranya Porsche dan Mercedes selain rumah juga hartanah bernilai kira-kira RM11 juta serta pelbagai harta alih lain termasuk wang tunai dan jam tangan berjenama.

Selain itu, SPRM turut membekukan 33 akaun bank berjumlah kira-kira RM120 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN